Jeffrey Gesa Putrajaya Pulangkan Perairan Sabah, Sarawak

JeffreyKitingan-1.jpg

Gambar fail

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglina Dr Jeffrey Kitingan menyelar Putrajaya setelah mengetahui kerajaan persekutuan akan terus menggunakan Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) ke atas Sabah dan Sarawak.

Akta yang diluluskan Parlimen pada 2012 itu secara unilateral mengecilkan laut wilayah Sabah dan Sarawak dari 12 batu nautika menjadi 3 batu nautika (pengurangan 9 batu nautika, atau 16.5km).

Dalam kenyataan pada Selasa, Kitingan, yang menghadiri taklimat mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor kelmarin, menuntut agar kerajaan persekutuan menghadkan skop akta itu kepada Semenanjung sahaja.

Tambah beliau, akta itu tidak boleh merangkumi Sabah dan Sarawak kerana kedua-dua wilayah ini tidak pernah menyetujuinya.

Kitingan, yang juga presiden STAR, berkata kerajaan Sabah akan terus menentang sebarang usaha untuk menguatkuasakan undang-undang tersebut di negeri ini.

“Akta ini bercanggah dengan Perlembagaan kerana melanggar Artikel 1(3) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa wilayah setiap negeri adalah wilayah yang ditetapkan sebelum Hari Malaysia,” kata beliau.

Sempadan laut wilayah Sabah dan Sarawak pada 1958, sebelum pembentukan Malaysia.

Ahli Parlimen Keningau itu berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tidak pernah memberi persetujuan terhadap peluasan Akta tersebut.

“Mengubah sempadan Sabah memerlukan undi majoriti dalam DUN. Kecuali bagi tempoh ketika Labuan dijadikan wilayah persekutuan pada 1985, kami tidak pernah mengubah sempadan kami.

“Kehilangan wilayah adalah pengalaman yang memilukan bagi mana-mana negara yang merdeka.

“Mengubah sempadan tanpa persetujuan kami sama sahaja menyakitkan dengan kehilangan wilayah. Percayalah, rakyat akan marah,” kata Kitingan.

Tambah beliau, tidak logik untuk dihujahkan bahawa disebabkan akta itu berkuat kuasa di Semenanjung, maka ia patut dikuatkuasakan di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kami adalah wilayah yang tersendiri. London tidak pergi ke Scotland dan merampas wilayah mereka dengan sesuka hati. Prinsip yang sama diguna pakai untuk persekutuan ini.

“Saya juga ingin menyatakan bahawa kerajaan persekutuan secara tidak sah telah menyerahkan Blok L&M dalam wilayah Sabah pada 2008 kepada Brunei. Kami mahu wilayah ini juga dikembalikan,” tegas beliau.

Isu Akta Laut Wilayah 2012 adalah salah satu daripada empat isu berkaitan MA63 yang masih belum dapat diselesaikan, selain sumber minyak dan gas Sabah, sejak 2017.

Pada 2019, mesyuarat jawatankuasa khas Jemaah Menteri Pakatan Harapan bagi mengkaji dan melaksanakan MA63 berkata, ia telah menyelesaikan 17 daripada 21 isu yang dibangkitkan oleh kerajaan Sabah dan Sarawak.

Selain Akta Laut Wilayah, isu lain yang belum dapat diselesaikan adalah isu royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak, serta hak negeri ke atas pentas benua.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Openg juga sebelum ini menyuarakan bantahan terhadap akta tersebut, dengan berkata, pada 2018, perairan wilayah mereka adalah 12 batu nautika dan bukan 3 batu nautika seperti yang dinyatakan dalam Akta Laut Wilayah.

Beliau menyifatkan akta tersebut sebagai tidak sah kerana Sarawak tidak pernah bersetuju dengan pindaan sempadan perairan wilayahnya di Parlimen.

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top