Jeffrey Gesa Putrajaya Bayar Hak Kewangan Sabah Yang Tertunggak

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan menggesa kerajaan persekutuan memberi tumpuan kepada isu tunggakan pembayaran pelbagai geran kepada Sabah dan Sarawak, seperti diperuntukkan di bawah Perlembagaan.

Katanya, tanggungjawab kerajaan persekutuan terhadap kedua-dua negeri itu tidak hanya terbatas untuk menjaga hubungan diplomatik dan keselamatan, tetapi juga memastikan negeri-negeri Borneo itu berkemampuan dari segi kewangan untuk mengurus wilayah masing-masing.

Beliau berkata, beberapa klausa dalam Perlembagaan Persekutuan memperincikan kewajipan kewangan kerajaan persekutuan terhadap Sabah dan Sarawak.

Beliau menekankan kewajipan kerajaan persekutuan untuk membayar geran khas 40% daripada hasil bersih yang diperolehi persekutuan dari Sabah.

Kerajaan persekutuan buat masa ini hanya membayar Sabah RM26.7 juta.

“Itu baru satu. Aturan kewangan lain yang dipersetujui dan diterapkan dalam Perlembagaan Persekutuan dipinda di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk geran jalan raya, geran per kapita dan duti import serta eksport,” kata Kitingan dalam kenyataan.

“Jika kerajaan persekutuan memenuhi kewajipan kewangannya terhadap Sabah dan Sarawak, saya yakin negeri Borneo ini dapat menyelesaikan separuh masalah kewangan kami dan melaksanakan lebih banyak projek pembangunan.”

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sosio-ekonomi MA63 di sini, pada Selasa.

Kitingan berkata, selain perkara yang berulang kali dinyatakan kerajaan Sarawak, negeri Borneo itu terlalu luas untuk dianggap sebuah lagi negeri dalam persekutuan.

“Oleh itu, saya mencadangkan jawatankuasa mengeluarkan kertas putih mengenai hak Perlembagaan Sabah dan Sarawak sebelum mesyuarat jawatankuasa berikutnya.

“Jawatankuasa itu harus memberi tumpuan menyelesaikan masalah utama ini, iaitu menuntut semula dan mengembalikan hak Perlembagaan kami, berbanding membicarakan berapa banyak menara telekomunikasi kami harus ada.”

Di peringkat negeri, Ahli Parlimen Keningau itu berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa MA63 untuk menyelaras dan menyenaraikan semua isu, termasuk pelanggaran MA63, cara menanganinya dan memperbaikinya.

Sementara itu, Kitingan berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah menyasarkan untuk meningkatkan ekonomi digital di negeri itu dan berminat bekerjasama dengan Sarawak kerana Sabah juga ingin menubuhkan Lembaga Ekonomi Digital sendiri.

“Pembangunan infrastruktur kami sangat mahal. Kami sepatutnya memberi tumpuan kepada masa depan dan ekonomi digital adalah masa depan itu.

“Saya tidak mahu melihat Sabah ketinggalan lagi dan hanya dapat sisa-sisa. Kami mesti memperoleh segala hak kewangan seperti yang dipersetujui dalam MA63 dan diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya.


Kongsi Bersama

6 comments

  1. INILAH PERKARA YG DINANTI NANTIKAN OLEH RAKYAT SABAH DAN SARAWAK. BUKTIKAN PERJUANGAN MU, REALISASIKAN IMPIAN UNTUK RAKYAT SABAH, DATUK.

    TUNTUT JANGAN TAK TUNTUT. JANGAN TALK ONLY BUT NO ACTION

  2. Ada lah menjadi tanggung jawab Wakil-wakil rakyat yang di pileh rakyat untuk menjalankan tuntutan hak hak sabah ke atas hasil yand di kutip dari Negeri Sabah. Apa-apa yang telah di janjikan dalam menifesto politik pada pru 14 harus di kota kan dan jangan berdalih lagi . Tidak ada alasan bagi kamu membuat helah apa bila menghadapi pru akan datang.

  3. Perjuangkan sampai dapat DDJK supaya pembangunan kita di Sabah dapat menyamai seperti di Malaya, Jika perkara ini dapat direalisasikan tiada lagi alasan rakyat Sabah keseluruhannya tidak menyokong parti STAR. Harapan kami selaku rakyat Sabah perjuangkan sehingga jadi kenyataan…..

  4. Kita harapkan semua mp di Sabah seharusnya mempunyai pemikiran yang serupa ini, jika mereka mampu bersatu sudah pastinya kejayaan rangka kemajuan Sabah dapat dinikmati kelak.. Ayoh mp2 Sabahan bangunlah jangan hanya memgidam hanya utk kepentingan diri, buktikan kamu adalah aset negara yg sgt2 bernilai. Kamu adalah mandat rakyat utk mengubahnya dan memacu utk kebaikan org Sabah..

  5. jangan saja cm atas pentas cuma lakonan…..hanya ikut skrip yg di utuskan dari malaya……
    mc ingat ka ucapan mu di australia utk SSKM……
    apa pun tara sekarang bosku

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *