JBPM Sabah terima 20 panggilan kecemasan akibat pokok tumbang

pokok-tumbang.jpg

Foto: FB Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sabah menerima sebanyak 20 panggilan kecemasan akibat pokok tumbang di beberapa daerah sekitar negeri ini sejak semalam hingga 11 pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi JBPM Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan panggilan awal diterima pada 8 pagi semalam susulan angin kencang, hujan lebat serta cuaca tidak menentu.

Kenyataan memaklumkan antara daerah yang terjejas ialah Tuaran, Penampang, Kota Kinabalu, Kota Belud, Kudat, Tenom, Sook, Tawau dan Lintas.

“Bilangan kes pokok tumbang mengikut daerah membabitkan empat kes masing-masing di Kota Belud dan Lintas, tiga kes masing-masing di Penampang dan Kudat, dua kes di Kota Kinabalu, dan masing-masing satu kes di Tuaran, Tenom, Sook dan Tawau.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan maklumat akan terus dikemas kini dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu The Star melaporkan Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah Amirzudi Hashim berkata cuaca semasa berpunca daripada penumpuan angin di selatan Semenanjung Malaysia serta pantai barat Sabah.

“Ini berpotensi membawa ribut petir dan hujan lebat yang kadangkala disertai angin kencang,” katanya ketika dihubungi.

“Keadaan ini juga menyebabkan laut bergelora di selatan Selat Melaka dan Laut China Selatan termasuk di perairan Sabah,” katanya.

Beliau berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora Kategori 2 bagi kawasan perairan pantai barat Sabah, tenggara Reef North dan Layang-Layang yang berkuat kuasa dari 17 hingga 21 Sept.

Angin kencang berkelajuan 50 hingga 60kmj dan ombak mencecah sehingga 4.5m dijangka dalam tempoh ini, kata Amirzudi, sambil menambah keadaan ini berbahaya untuk semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

“Orang ramai dinasihatkan supaya peka dengan keadaan cuaca semasa dan mengikuti nasihat yang dikeluarkan MetMalaysia dari semasa ke semasa bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Beliau menambah, orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini melalui laman web rasmi jabatan, aplikasi mudah alih MyCuaca atau laman media sosial rasmi.

Orang ramai juga boleh menghubungi pusat operasi cuaca dan gempa bumi Sabah di talian 088-413691.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top