JBPM Sabah Pasang LiSA Di Kota Belud, Tuaran & Likas

Bomba-Pasang-lisa.jpg
Kongsi Bersama

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memasang tiga peti Life Saving Appliances (LiSA) di lokasi yang dikenalpasti memerlukan keperluan berkenaan.

Pengarah JBPM Sabah Md Ali Ismail berkata pemasangan peralatan LiSA adalah berdasarkan pemilihan kawasan rekreasi tumpuan pelancong dan risiko kes lemas yang dijangka sering membabitkan kemalangan di air yang tinggi.

“Setakat ini tiga kawasan yang dilengkapi keperluan itu adalah Polumpung Melangkap View Campsite, Kota Belud, Taman Awam Teluk Likas dan Pantai Syahbandar Tuaran.

“LiSA mengandungi peralatan seperti pelampung, jaket keselamatan, ‘throw bag rope’ serta dilengkapi dengan siren.

“Ianya digunakan sebagai persediaan awal dalam menghadapi kecemasan sekali gus meminimakan kadar kemalangan membabitkan aktiviti air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran, Majlis Keselamatan Aktiviti Di Air (MKAA) dan Pentauliahan Pasukan Bomba Komuniti di Polumpung Melangkap View Camp Site, di sini semalam.

Turut hadir Pegawai Daerah Kota Belud, Doris William @ Diyanah Abdullah dan Timbalan Pengarah JBPM Sabah, Farhan Sufyan Borhan.

Bercakap lanjut Md Ali berkata pihaknya memasang peralatan ini dan mengadakan kempen di kawasan aktiviti air berikutan banyak kejadian tidak diingini berlaku selain ianya sebagai persediaan awal menghadapi segala kemungkinan.

“Setakat ini kita sudah memasang LiSA di tiga lokasi dan akan diteruskan ke beberapa lagi lokasi lain yang difikirkan perlu namun tertakluk kepada peruntukkan ibu pejabat.

“Peralatan LiSA juga dilengkapkan dengan system GPS dan amaran seperti Beacon dan Siren bila loker peralatan dibuka dan digunakan,” katanya.

Sementara itu, Md Ali turut melancarkan Penubuhan Pasukan Bomba Komuniti sebagai salah satu inisiatif kerajaan melalui Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan dan JBPM.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top