Jawatankuasa Parlimen Mula Prosiding Isu Tuntutan Sulu 11 Ogos

salehuddin.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa akan memulakan prosiding berhubung isu tuntutan waris Kesultanan Sulu ke atas aset negara pada 11 Ogos ini, selaras Peraturan Mesyuarat 83(4) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Pengerusinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) berkata, prosiding berhubung isu itu wajar dimulakan selepas beberapa usul yang dikemukakan beberapa Ahli Parlimen menurut Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2) ditolak untuk dibahas dalam Dewan Rakyat.

“Maka, jawatankuasa ini telah berbincang dan berpandangan tuntutan itu (kumpulan Sulu) adalah isu yang sangat serius dan sekiranya tidak ditangani dengan baik, berpotensi menjejaskan kepentingan negara.

“Sehubungan itu, jawatankuasa ini mengambil keputusan selaras peranannya seperti ditetapkan Dewan Rakyat untuk menjalankan peranan semak dan imbang terhadap tindakan kerajaan serta memartabatkan institusi demokrasi berparlimen,” katanya dalam sidang media di Parlimen.

Sebagai permulaan, katanya, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dipanggil untuk menghadiri prosiding itu.

Jawatankuasa itu turut dianggotai Datuk Seri Nazri Aziz (BN-Padang Rengas), Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort), Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat), Tiong King Sing (GPS-Bintulu), Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru), Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) dan Awang Husaini Sahari (PH-Putatan).

BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top