SEMPORNA:Jawatankuasa khas bagi menyelesaikan masalah perkampungan setinggan di Sabah akan ditubuhkan dan dibincang secara terperinci dalam Kabinet Negeri.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, perkara itu harus diuruskan terlebih dahulu bagi memastikan masalah setinggan dapat dikawal daripada berterusan merebak.
“Di Sabah ini banyak kampung yang bertaraf setinggan dan ia berlaku apabila mula-mula hanya 10 rumah, kemudian 20, 200 dan akhirnya menjadi 2,000 rumah. Sukar untuk dikawal apabila ia sudah merebak dan sekiranya berlaku mala petaka seperti kebakaran, satu kampung akan terlibat.
“Jadi, perkara ini sudah dibincangkan dalam Kabinet kerajaan Negeri dan kita telah cuba merancang untuk mencari kawasan tanah untuk dijadikan pusat pemindahan masyarakat setinggan,” katanya kepada pemberita ketika melawat mangsa terjejas akibat kebakaran di Kampung Simunul, pada Sabtu.
Bung Moktar dalam pada itu berkata, status penduduk turut menjadi masalah kepada pihak kerajaan dalam menyelesaikan perkara itu.
“Setinggan ini pula, ada yang tempatan dan bukan warga tempatan jadi ini mendatangkan masalah kepada kerajaan untuk menentukan status mereka.
“Namun jika tidak diuruskan dari awal, saya rasa ia tidak akan menjadikan keadaan lebih baik. Jadi setinggan ini akhirnya akan makin berkembang sehingga tanah kerajaan yang hendak dibangunkan pun mereka duduki termasuk di kawasan bandar,” katanya.
Terdahulu, dalam lawatannya beliau turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Simunul, semalam.
Sementara itu, diminta mengulas berhubung masalah air di Kunak, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengadakan satu persefahaman dengan sebuah konsultan bagi melakukan kajian berkaitan hala tuju bekalan air di Sabah.
“Kajian ini memakan masa selama tiga bulan dan akan bermula minggu ini dan selepas tiga bulan, baru saya akan umumkan arah bagaimana hala tuju air Sabah.
“Saya sepatutnya akan melawat Tawau, Lahad Datu dan Kunak tetapi oleh sebab ada perkara-perkara yang tidak dapat diatasi, ditambah pula Tawau sudah kembali dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi saya terpaksa tangguh dulu lawatan untuk meninjau masalah air dan elektrik di daerah itu,” katanya.