Jawatankuasa Khas Dibentuk Atasi Kesulitan Pengguna Jalan Raya Sandakan-Telupid

arthur.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Satu pasukan petugas khas telah dibentuk bagi mengenalpasti dan mencari jalan penyelesaian jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang untuk mengatasi kesulitan pengguna jalan raya yang melibatkan laluan FT22 dari Sandakan ke Telupid.

Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup jawatankuasa yang diketuainya itu dibentuk susulan daripada lawatan kerja beliau bersama Menteri Kanan Kerja Raya serta pihak pengurusan atasan KKR bersempena FT Roadpedia Negeri Sabah pada Mei lalu.

“Susulan daripada lawatan kerja itu, satu pasukan petugas khas telah dibentuk.

“Mesyuarat pertama telah diadakan 7 Jun 2022 di mana hala tuju jawatankuasa itu memfokuskan aspek-aspek keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya serta meningkatkan lagi kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan untuk mencari kaedah penyelesaian secara bersama.” katanya pada satu kenyataan media pada Rabu.

Jelasnya, jajaran yang telah dikenalpasti terdiri daripada Jalan Persekutuan FT22 dan jajaran Projek Leburaya Pan Borneo, Pakej Kerja 28, 29 dan 30.

Sehubungan itu, kaedah penyelesaian yang dirancang perlu penglibatan pasukan projek Lebuhraya Pan Borneo yang terdiri daripada Pegawai Penguasa Projek (JKR Sabah), pihak perunding dan kontraktor serta melibatkan juga pihak Konsesi bagi menangani isu di Jalan Persekutuan.

Antara kaedah penyelesaian jangka masa pendek yang diumumkan ialah di Jalan Persekutuan KKR telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan segera di kawasan yang telah dikenalpasti. Surat arahan kebenaran belanja telah dimajukan kepada JKR Sabah pada 22 Jun 2022.

Senarai kerja pembaikan melibatkan 5 lokasi Jalan Persekutuan FT22 (Jalan Kota Kinabalu – Sandakan Seksyen 173-174, Seksyen 174-175, Seksyen 175-176, Seksyen 176-177 dan Seksyen 143144) meliputi kerja-kerja berkala pavemen mengikut keutamaan di Daerah Telupid. Berdasarkan status semasa sehingga hari ini, kerja-kerja fizikal telah bermula dan dijangka akan siap dalam tempoh 2 bulan.

‘Bagi Projek Pan Borneo (Pakej Kerja 28, 29 dan 30) kerja-kerja pembaikan jalan akan dilaksanakan dengan segera menggunakan peruntukan di dalam kontrak yang dianggarkan sebanyak RM5.5 juta untuk ketiga-tiga pakej kerja yang melibatkan laluan dari Batu 32, Sandakan sehingga Sg. Baoto;

“Kerja-kerja telah bermula pada awal bulan Julai 2022 dan lokasi yang kritikal akan dibaiki terlebih dahulu. Kerja-kerja pembaikan awalan ini dijangka akan siap dalam tempoh 2 bulan;

“Dalam masa yang sama, kerja-kerja untuk mengenalpasti laluan yang berisiko akan terus dibuat oleh JKR Sabah dan pihak perunding dan akan dibentangkan pada mesyuarat Task Force secara berperingkat.” ujarnya.

Untuk kaedah jangka masa sederhana pula kata Arthur, JKR Sabah akan melaksanakan pemeriksaaan terhadap pelan pengurusan trafik di tapak secara berkala untuk memastikan kontraktor sentiasa mematuhi aspek keselamatan jalan raya semasa pembinaan.

 

Selain itu, papan tanda amaran di Jalan Persekutuan akan ditambahbaik mengikut kesesuaian lokasi, kerjasama secara berterusan dengan pihak JPJ akan sentiasa dipertingkatkan.

Menurut beliau, had laju ketika pembinaan untuk Projek Lebuhraya Pan Borneo akan dikaji semula untuk mengurangkan lagi risiko kemalangan pengguna jalan raya.

Mengenai kaedah jangka panjang Arthur berkata, pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo merupakan kaedah penyelesaian jangka masa panjang yang sedang dilaksanakan Kerajaan bagi menyediakan kemudahan infrastruktur yang selamat dan selesa di Sabah.

“Antara inisiatif lain yang diambil Kerajaan termasuklah memastikan Jalan Persekutuan berada dalam keadaan baik dan diselenggara mengikut tatacara dan piawaian yang telah ditetapkan.

“Usaha-usaha ini mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan rangkaian infrastruktur jalan raya yang terancang, sistematik dan efisien buat Keluarga Malaysia di Sabah.” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top