Jawatankuasa Gagasan Rakyat peringkat cawangan perlu mainkan peranan bantu parti

Hassan-Sebatik.jpg
Kongsi Bersama

KALABAKAN: Pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di peringkat cawangan perlu memainkan peranan dalam membantu kerajaan menyalurkan maklumat dan bantuan kepada rakyat akar umbi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik Datuk Hassan A. Ghani Pg. Amir berkata, jawatankuasa parti di peringkat cawangan adalah individu yang paling rapat dengan kerajaan dan rakyat di kampung.

Katanya, peranan jawatankuasa parti di peringkat cawangan sangat besar kerana perlu menjadi wakil kepada kerajaan dalam usaha menyelesaikan setiap permasalahan yang timbul di kawasan mereka.

“Hala tuju kerajaan tidak akan mencapai matlamatnya tanpa sokongan dan dokongan semua jawatankuasa dan ahli di peringkat akar umbi.

“Justeru, semua individu yang dilantik menganggotai jawatankuasa parti di cawangan bukan hanya membantu kempen atau menambah ahli, tetapi menjadi pengantara antara penduduk dengan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melaksanakan program Jelajah Gagasan Rakyat Bahagian Sebatik, di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Serudung Laut, di sini, pada Isnin.

Menurutnya, ketua cawangan dan ahlinya perlu komited melaksanakan tugas yang diamanahkan supaya kerajaan dapat mengetahui masalah yang timbul di kawasan mereka.

“Sebagai wakil rakyat di bahagian Sebatik sememangnya mengharapkan maklumat daripada pemimpin akar umbi supaya mudah untuk menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.

“Kita tidak mahu pemimpin akar umbi sambil lewa kerana rakyat akan salahkan wakill rakyat ataupun kerajaan sekiranya masalah mereka lambat diselesaikan,” katanya.

Hassan berkata, pihaknya tahu banyak masalah yang timbul di Serudung Laut memandangkan kawasan ini berada di kawasan luar bandar.

“Masalah yang timbul itu tidak diselesaikan oleh pemimpin terdahulu sehinggakan penduduk masih tidak menerima manfaat daripada kerajaan khususnya isu infrastruktur.

“Namun, kerajaan negeri yang ada ketika ini sudah banyak memberikan perubahan, malah masih banyak lagi perancangan yang sedang dan akan dilaksanakan di Serudung Laut dalam masa terdekat,” katanya.

Mengulas mengenai jelajah ini, katanya, ia bertujuan menyampaikan maklumat mengenai parti Gagasan Rakyat, selain turun padang berjumpa rakyat di setiap cawangan bahagian Sebatik.

Katanya, PDM Serudung Laut adalah salah satu lokasi paling awal program jelajah ini dilaksanakan di seluruh Sabah dan ia satu penghormatan buat penduduk di sini.

“Saya sangat berbangga kerana ketua dan ahli di enam cawangan Serudung Laut dapat hadir dalam program yang penuh bermakna ini.

“Kita juga dapati Gagasan Rakyat cawangan Serudung Laut semakin mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk terutamanya belia,” katanya.

Hassan berharap jawatankuasa Gagasan Rakyat di Serudung Laut ini dapat bekerja dengan lebih kuat dan berusaha menambah ahli parti dari semasa ke semasa.

“Kita mahukan penduduk di Serudung Laut juga menyambut baik parti tempatan ini yang diasaskan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

“Saya juga berharap Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik dapat ditawan semula oleh Gagasan Rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” katanya.

Turut hadir, Presiden Kelab Penyokong Gagasan Rakyat, Datuk Jeffry Rosman dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sebatik Radin Sirap. – PENERANGAN GAGASAN RAKYAT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top