Jawatankuasa Bipartisan Perlu Untuk Tangani Isu PATI Di Sabah – PBS

joniston.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) mengulangi pendirian bahawa semua pendatang tanpa izin (PATI) di negeri ini harus dihantar pulang dan menggesa pembentukan jawatankuasa bipartisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mencari penyelesaian efektik bagi masalah tersebut.

Setiausaha Agung PBS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, input daripada semua pihak berkepentingan adalah penting bagi memastikan tindakan yang diambil bagi menangani masalah itu mendapat sokongan penuh dan tidak dipersoal atau dipolitikkan.

“Membandingkan cadangan awal untuk mengeluarkan Kad Pekerja Warga Asing oleh kerajaan sedia ada dengan Pas Sementara Sabah yang diperkenalkan oleh kerajaan Warisan sebelum ini hanya akan merumitkan usaha menyelesaikan masalah PATI di negeri ini,” katanya.

Beliau mengulas reaksi pelbagai pihak berikutan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, pada 10 Februari bahawa kad khas akan dikeluarkan kepada warga asing tanpa izin yang telah menetap di Sabah sejak beberapa generasi.

Hamzah menyatakan bahawa kad tersebut hanya untuk merekodkan kehadiran PATI dan bukan pemberian status kewarganegaraan Malaysia atau pemastautin tetap.

Baru-baru ini, Joniston menyuarakan cadangan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili untuk penubuhan jawatankuasa bipartisan kerana Sabah mempunyai kuasa penuh ke atas imigresen memandangkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kini adalah sebahagian daripada Perlembagaan berikutan pindaan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini.

Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, Joniston percaya pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan telus dan sentiasa mengambil kira kepentingan rakyat serta negeri sebelum membuat sebarang keputusan untuk menangani isu PATI.

“Kita harus elak membuat andaian atau bertindak tergesa-gesa dan tunggu Kerajaan Negeri memberikan perincian lanjut mengenai perbincangan awal dengan Putrajaya.

“Sebagai ‘Orang Asal Sabah’, saya percaya Ketua Menteri kita dan kepimpinan negeri tidak akan bersetuju dengan keputusan atau tindakan yang akan memudaratkan kepentingan rakyat Sabah tulen,” katanya.

Beliau turut menegaskan parti PBS tidak akan sekali-kali mengubah pendirian jelas yang telah lama dipegangnya mengenai isu pendatang tanpa izin.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top