Jawatankuasa Bencana Negeri Diaktifkan, Pastikan Mangsa Banjir Dipindahkan

hajiji_noor_bernama2.jpg

KOTA KINABALU, 31 Dis -- Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Mohd Noor ketika temu bual bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini hari ini. --fotoBERNAMA(2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Hj Noor berkata, Jawatankuasa Bencana Negeri Sabah dan di peringkat daerah yang terkesan akibat banjir telah diaktifkan serta merta susulan hujan lebat sejak akhir-akhir ini.

Katanya, ini membabitkan daerah Tenom, Beaufort termasuk Membakut dan Sipitang  serta Keningau, yang terjejas akibat banjir sejak beberapa hari lalu.

“Saya telah mengarahkan semua pegawai daerah di kawasan yang terjejas banjir agar mengaktifkan jawatankuasa bencana masing-masing selama 24 jam.

“Ini bagi memastikan semua mangsa banjir dapat segera dipindahkan termasuk pemberian bakul makanan. Saya juga meminta penduduk yang tinggal di kawasan berisiko tinggi untuk banjir agar segera berpindah jika diminta berbuat demikian.

“Apa yang penting saya mahu bantuan makanan dan keselamatan penduduk diutamakan. Saya juga mengarahkan daerah lain yang berisiko banjir agar sentiasa bersiap sedia susulan musim hujan sejak akhir-akhir ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Setakat jam 9 pagi ini, seramai 1,447 mangsa banjir di tempatkan di 11 PPS di Tenom, Beaufort dan Sipitang dengan membabitkan 373 KIR.

Banjir kali ini membabitkan 68 kampung di Beaufort manakala 33 kampung di Tenom.

Selain itu, pada Rabu lalu, beberapa kawasa di Penampang dan Putatan turut dinaiki air yang menyebabkan banjir kilat, susulan hulan lebat lebih dua jam.

Sehubungan itu, Hajiji berkata semua kawasan atau daerah yang berisiko banjir termasuk yang memerlukan bantuan, sentiasa dipantau kerajaan menerusi Jawatankuasa Bencana Negeri dan di peringkat daerah masing-masing.

Sementara itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau turut  mengarahkan pengunaan dua helikopter pagi ini, untuk menghantar sebanyak 2,000 bantuan bakul makanan kepada lebih 1,400 mangsa banjir di Tenom, Beaufort dan Sipitang.

“Kerajaan melalui Jawatankuasa Bencana Negeri Sabah telah meluluskan sebanyak 2,000 bakul makanan untuk diagihkan kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu masing-masing 1,000 bakul makanan di Tenom dan Beaufort (termasuk Membakut).

“Bantuan makanan ini juga akan diagihkan kepada mereka yang terputus perhubungan darat di beberapa kawasan di Tenom. Manakala bagi Sipitang dan Keningau, bantuan makanan akan diurus oleh Jawatankuasa Bencana Daerah masing-masing.

“Kerajaan juga akan mendapatkan bantuan pengangkutan udara pasukan keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut dimaklumkann beberapa PPS di Tenom masih menjalankan proses pendaftaran mangsa oleh Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA),

“Saya berharap semua mangsa banjir ini akan menerima bantuan makanan dengan secepatnya dan bantuan akan terus diberikan dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN BORNEO


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top