Jawatan Timbalan Speaker: Ahmad Maslan Tampil Dengan ‘Manifesto’ 20 Perkara

ahmad-maslan.jpg
Kongsi Bersama

Calon timbalan speaker Dewan Rakyat daripada Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, mengemukakan 20 cadangan transformasi parlimen sekiranya dia dipilih menduduki jawatan berkenaan minggu depan.

Ahmad merupakan setiausaha agung Umno dan menjadi calon tunggal daripada pihak kerajaan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said.

Cadangan Ahmad hadir sehari selepas seorang lagi calon timbalan speaker – mewakili Pakatan Harapan (PH) – Nga Kor Ming mengemukakan 10 tawaran pembaharuan parlimen jika dia dipilih.

Berikut ialah 20 tawaran transformasi yang dijanjikan Ahmad:

1.Menyediakan seorang pegawai penyelidik bagi setiap ahli parlimen sama ada penyokong kerajaan (backbencher) atau pembangkang untuk membantu membuat kajian dasar, ucapan, soalan dan yang berkaitan dengan tugasan di Dewan Rakyat.

2.Mengemas kini Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (Standing Order) agar lebih sesuai, terkini dan relevan dengan kehendak semasa.

3.Mewujudkan seorang lagi timbalan yang dipertua atau timbalan speaker menjadikan tiga orang semuanya. Timbalan speaker ketiga dikhususkan untuk wakil pembangkang. Satu daripada tiga timbalan speaker terbabit seeloknya dari Sabah atau Sarawak.

4.Parlimen terlibat dengan aktif memberi pendidikan demokrasi kepada seberapa ramai rakyat melalui seminar, wacana, pameran, dialog, lawatan dan libat urus (engagement).

5.Mewujudkan program parlimen pelajar untuk mereka di tingkatan empat hingga enam sebagai tambahan kepada program Parlimen Belia dan Parlimen Mahasiswa yang ada sekarang. Penglibatan wanita sangat digalakkan dalam ketiga-tiga program itu. Langkah ini sesuai dengan Undi18.

6.Melanjutkan masa rasmi sidang parlimen daripada 10 pagi hingga 5.30 petang sekarang kepada 10 pagi hingga 6.30 petang. Tambahan sejam itu bagi membolehkan ahli parlimen diberikan peluang masa yang cukup untuk berbahas. Ia tidak termasuk masa-masa tambahan hingga sebelah malam jika diperlukan. Masa pertanyaan menteri (MQT) juga ditambah daripada 30 minit pada hari Selasa dan Khamis kepada 40 minit.

7.Memastikan minimum 12 hingga 15 soalan lisan dapat dijawab dalam masa 120 minit sesi pertanyaan dengan had sekitar masa 8 hingga 10 minit untuk setiap soalan. Ini bermakna sesi pertanyaan lisan ditambah daripada sejam setengah kepada dua jam.

8.Memastikan ucapan ahli parlimen untuk dasar penting diberikan sekurang-kurangnya 20 hingga 30 minit, dan jika perlu tambahan sehingga ke malam bagi memenuhi keperluan 20 minit itu. Perbahasan penting adalah seperti usul titah menjunjung kasih diraja, belanjawan, pindaan perlembagaan, rancangan malaysia, rang undang-undang (RUU) baru seperti Akta Pendanaan Politik dan seumpamanya.

9.RUU yang ingin dibentangkan hendaklah diberi kepada ahli parlimen sekurang-kurangnya lima hari sebelum ia dibahaskan bagi menyediakan masa secukupnya untuk ahli parlimen membuat kajian dengan syarat kerahsiaan dan embargo diletakkan.

10.Memperuntukkan RM60,000 setahun dengan kiraan RM5,000 sebulan kepada ahli parlimen pembangkang dan ahli parlimen bebas untuk menguruskan pusat khidmat kawasan masing-masing. Peruntukan itu dianggar mencukupi untuk elaun dua kakitangan dan sewa sebuah pejabat.

11.Mengadakan hari terbuka kementerian secara berkala di parlimen untuk ahli parlimen bertemu secara terus dengan menteri, timbalan menteri, ketua setiausaha kementerian dan ketua-ketua pengarah dengan penjadualan yang tersusun pada setiap kali sesi sidang.

12.Sesi kamar khas ditambah waktu dan diadakan pada setiap hari pada sebelah petang dengan membenarkan ahli parlimen bertanya soalan tambahan dan disiarkan juga secara langsung oleh media perdana.

13.Mengadakan latihan pendedahan media sosial kepada ahli parlimen dan kakitangan ahli parlimen dan juga latihan komunikasi, pengurusan, antarabangsa serta ilmu terkini yang relevan dari semasa ke semasa.

14.Menambah bilangan jawatankuasa pilihan khas yang meliputi pendidikan, agama, sosial, pekerjaan, perumahan, indeks gaji, gejala sosial, bisnes dalam talian, kesihatan, ekonomi, kewangan, pembangunan tanah, pelaburan, alam sekitar, mencari pendapatan baru kerajaan dan lain-lain yang sesuai.

15.Menyokong cadangan kerajaan untuk transformasi parlimen sebagaimana yang telah diumumkan oleh perdana menteri pada 10 September 2021 iaitu:

  • i.RUU antilompat parti akan dibentangkan di Parlimen
  • ii.Pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pengundi secara automatik dalam tempoh terdekat. Justeru, satu RUU pindaan perlembagaan akan dibentangkan.
  • iii. daan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun.
  • iv.Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.
  • v.Setiap RUU termasuk RUU perbekalan yang dibentangkan di parlimen akan dirunding dan dipersetujukan secara bersama.
  • vi.Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan.
  • vii.Ketua pembangkang diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.

16.Setiap ahli parlimen penyokong kerajaan dan pembangkang diberikan peruntukan khas untuk sesi townhall (dialog awam) dengan rakyat dan pemegang taruh di kawasan bagi mendapatkan pandangan untuk isu pembangunan, kebajikan rakyat dan RUU baru.

17.Mencadangkan agar ahli jawatankuasa pilihan khas diberi elaun kehadiran mesyuarat atau apa-apa elaun khas dengan jumlah yang kecil namun munasabah dengan kekerapan mesyuarat yang sesuai.

18.Mencadangkan agar sesi dialog dengan rangkaian media arus perdana diadakan secara berkala melibatkan ahli parlimen penyokong kerajaan dan pembangkang untuk memberikan pandangan mengenai isu-isu semasa.

19.Meletakkan adab dan tatasusila yang tinggi dalam perbahasan agar imej parlimen dihormati pada pandangan rakyat bagi mengelakkan parlimen dianggap sebagai sarkas ahli politik.

20.Menghidupkan kembali Akta Perkhidmatan Parlimen supaya parlimen mempunyai autonomi dari segi peruntukan, tanggungjawab, kebajikan kakitangan dan perjawatan.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top