Jawatan Presiden Dan Timbalan Presiden UMNO Perlu Dipertandingkan – Shahrir Samad

shahrir.jpg

Tan Sri Shahrir Samad

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad menggesa agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan dalam pemilihan parti tahun depan.

Utusan Malaysia dalam laporannya memetik Shahrir sebagai berkata, ia sebagai satu respons kepada kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang berlangsung pada 19 November lepas.

Shahrir juga berpandangan bahawa selain jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, semua jawatan lain juga perlu dipertandingkan dan tidak ada sebab untuk UMNO menyekat pemilihan terhadap jawatan tertinggi parti kerana ia bertujuan memilih pemimpin dan ia adalah sihat untuk parti.

“UMNO perlu membuka jawatan presiden dan timbalan presiden serta semua jawatan lain untuk dipertan­dingkan dalam pemilihan parti tahun depan sebagai satu respons kepada ‘kekalahan’ Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Tidak ada sebab untuk UMNO menyekat pemilihan terhadap jawatan tertinggi parti kerana ia bertujuan memilih pemimpin dan ia adalah sihat untuk parti.

“Walaupun kedua-dua jawatan itu pernah dimenangi tanpa bertanding oleh pemimpin-pemimpin terdahulu, tidak bermakna ia tidak perlu dipertandingkan dalam pemilihan kali ini.

“Bila pilih pemimpin melalui pemilihan, baru parti boleh tentukan hala tuju. Takkan nak sekat. Ini demokrasi, ini caranya untuk hidupkan dan mekarkan kembali UMNO,” katanya.

Justeru, katanya, kedua-dua jawatan itu perlu dibuka kepada semua kerana ia turut melibatkan suara akar umbi parti.

“Siapa yang boleh bertanding dan tawarkan diri, dia layak untuk bertanding. Yang nak mengundi ramai, jadi kena teruskan amalan ini,’’ katanya ketika dihubungi.

Kali terakhir jawatan presiden dipertandingkan adalah pada 2018 yang dimenangi oleh Ahmad Zahid menewaskan Khairy dan Tengku Razaleigh Hamzah manakala Datuk Seri Mohamad Hasan memenangi jawatan timbalan presiden setelah menewaskan Tan Sri Annuar Musa.

Bagaimanapun, jawatan presiden pernah dimenangi tanpa bertanding apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad menang pada pemilihan 1990, 1993, 1996 dan 2000 selepas kali terakhir dicabar oleh Tengku Razaleigh pada 1987.

Tradisi itu diteruskan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menang tanpa bertanding pada 2004 dan Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2009 dan 2013.

Ads by Kiosked

Jawatan timbalan presiden juga pernah dimenangi tanpa bertanding oleh Tun Ghafar Baba pada 1990, Datuk Seri Anwar Ibrahim (1996), Abdullah (2000), Najib (2004) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (2013).

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top