Jawatan PM: Ismail Sabri Calon Tunggal MT UMNO

ismail-sabri-1.jpg
Kongsi Bersama

Majlis Tertinggi UMNO memutuskan calon tunggal bagi jawatan Perdana Menteri (PM) baharu adalah Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perkara tersebut disahkan seorang sumber dalaman UMNO yang memberitahu keputusan tersebut dicapai sebulat suara dalam mesyuarat MT yang berlangsung malam ini dan keputusan akan dibawa untuk makluman kepada Ahli-ahli Parlimen (MP) UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menyokong.

“Ismail Sabri adalah calon tunggal UMNO untuk dilantik sebagai bakal Perdana Menteri… Namanya dipersetujui sebulat suara ahli MT yang berada dalam mesyuarat malam ini,” kata sumber itu.

Seorang lagi ahli MT, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin ketika ditemui berkata, pihaknya menyerahkan kepada MP BN untuk memuktamadkan calon PM yang layak diangkat mewakili parti berkenaan.

“Kita bersetuju untuk serah kepada Ahli Parlimen BN untuk putuskan siapa calon Perdana Menteri,” katanya kepada media selepas mesyuarat.

Antara MP BN yang hadir adalah Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Khairy Jamaluddin Abu Bakar (Rembau), Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong), Datuk Seri Wee Ka Siong (Ayer Hitam) dan Datuk Seri M. Saravanan (Tapah).

Mesyuarat itu juga dihadiri Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut kelihatan, MP Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Sebelum jam 4 petang esok, kesemua MP diarahkan menghantar surat akuan berkanun kepada Istana Negara dan menamakan calon Perdana Menteri kesembilan.

Penyerahan surat akuan itu perlu dibuat kepada Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Kol. (Bersara) Nazim Mohd. Alim melalui faks, e-mel atau dalam bentuk PDF di WhatsApp. – Agenda Daily


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top