KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) mengingatkan sekutunya supaya tidak terlalu yakin boleh memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka tidak boleh terlalu yakin dan memikirkan soal calon ketua menteri sebelum hari pengundian.
“Jangan terlalu yakin dalam hal ini… Jangan masuk dalam perangkap yang dipasang oleh musuh politik kita. Kalau kita terlalu yakin rakyat akan tolak kita, yang penting kita capai kemenangan dahulu, sampai waktu kita runding sebaiknya.
“Kita pastikan rakyat akan dapat seorang ketua menteri yang terbaik setelah Adun-Adun memenangi sekurang-kurangnya 37 kerusi,” katanya kepada pemberita selepas ceramah di Putatan semalam.
Katanya, hanya dengan cara itu mereka dapat memastikan rakyat mendapat ketua menteri yang terbaik.
Beliau mengulas seruan Ketua Penerangan Perikatan Nasional Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya Ketua PPBM Sabah, Datuk Hajiji Noor, diberi peluang sebagai ketua menteri jika gabungan itu memenangi PRN Sabah.
Terdahulu, dalam ceramahnya Presiden Umno itu mengingatkan parti yang mendapat kerusi terbanyak dalam pilihan raya berhak memilih ketua menteri antara calonnya yang menang.
Sementara itu, Zahid mengakui pilihan raya berkenaan adalah pertempuran sukar bagi semua 41 calon BN.
“Kita tahu calon BN merupakan ‘underdog’, kita juga sedar kita bergerak tanpa dana dan tanpa kemudahan kerana kita bukan sebuah kerajaan tapi hanya sebahagian daripada kerajaan PN.
“Dan kita sedar semua kelemahan dalam pelbagai aspek, tidak menjadikan kita lemah semangat untuk berjuang, ianya menjadikan kita menghadapi dengan penuh kekuatan semangat dan semua cabaran itu kita anggap sebagai ujian. Kita berazam seboleh-bolehnya semua 41 calon BN beroleh kemenangan,” katanya.