Jawatan JPKK Bukan Batu Loncatan Untuk Projek – Hajiji

hajiji-tuaran.jpg
Kongsi Bersama

TUARAN: Pemimpin akar umbi khususnya Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) diingatkan agar tidak menjadikan jawatan yang diamanahkan sebagai batu loncatan untuk memikir soal projek semata-mata.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, JPKK yang dilantik perlu menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh kerajaan dengan penuh dedikasi, jujur, prihatin, adil, dan ikhlas.

Katanya, pelantikan JPKK adalah satu amanah dan tanggungjawab besar bagi mewakili suara rakyat di peringkat akar umbi.

Menurutnya, JPKK juga perlu sentiasa turun padang untuk mengetahui masalah penduduk di kampung atau mukim masing-masing.

“Jangan jadikan jawatan itu sebagai batu loncatan untuk memikir soal projek semata-mata sehingga tidak mahu bekerjasama dengan penduduk kampung, termasuk meminggirkan mereka yang tidak sehaluan dengan kerajaan.

“Sebaliknya kita perlu peka dengan setiap masalah penduduk kampung dan menyampaikan maklumat berkaitan bantuan kerajaan tanpa pilih kasih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi, Setiausaha dan Biro JPKK bagi DUN Sulaman di Dewan Seri Sulaman di sini hari ini.

Hajiji berkata, pelantikan pemimpin akar umbi termasuk JPKK adalah untuk membantu kerajaan negeri merealisasikan hasrat, aspirasi dan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang bermatlamat memulihkan semula ekonomi dan untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Katanya, ia termasuklah membantu kerajaan menyalurkan bantuan kepada penduduk kampung yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM1.2 bilion untuk membantu rakyat akibat pandemik COVID-19, termasuk bantuan wang tunai RM300 seorang secara ‘one-off’ serta bantuan bakul makanan.

“JPKK juga memainkan peranan penting untuk memberi penerangan dan menjelaskan agenda pembangunan yang dirancang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kepada rakyat di kawasan masing-masing,” jelasnya.

Justeru, beliau mahu JPKK menunaikan tugas dengan penuh bertanggungjawab agar rakyat mendapat manfaat daripada setiap bantuan dan pembangunan yang dibawa oleh kerajaan, selain memastikan perpaduan dan kehormonian rakyat sentiasa terjaga.

Pada majlis itu, seramai 47 Pengerusi JPKK menerima watikah pelantikan termasuk 12 orang dari Mukim Serusup, 14 dari Mukim Indai dan 21 dari Mukim Tambalang. Terdapat penambahan seramai 13 JPKK di beberapa kampung dan mukim.

Turut hadir, Pembantu Menteri Kewangan Jasnih Daya; Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Datuk Abdul Kassim Razali; Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Datuk Johari Saiman; Pegawai Daerah Tuaran Sadan Hussin; dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sulaman Murneh Lamsari.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top