JAS Sabah Sita Lebih 1,000 Tangki Sisa Buangan

JAS-Sabah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah menyita lebih 1,000 tangki berisi sisa buangan terjadual dalam serbuan di sebuah stor haram di Kampung Kembirian, Menggatal, di sini, petang semalam.

Serbuan jam 2.30 petang itu hasil aduan diterima daripada penduduk yang mengadu terpaksa berdepan bau kurang menyenangkan seperti minyak diesel setiap hari.

Pengarah JAS Sabah, Amirul Aripin (gambar, kanan), berkata operasi bersepadu dilakukan itu mendapati lebih 1,000 unit tangki disyaki mengandungi bahan buangan terjadual disimpan dalam gudang penyimpanan berkenaan.

“Kita menerima aduan daripada penduduk pada 26 Jun lalu yang mendakwa terpaksa berdepan bau seperti minyak diproses di kampung mereka.

“Intipan hampir seminggu dilakukan anggota JAS negeri dan mendapati terdapat pergerakan keluar dan masuk lori pada waktu malam, dipercayai bagi mengaburi penduduk,” katanya pada sidang media di premis penyimpanan bahan itu hari ini.

Amirul berkata, hasil maklumat yang diperoleh pihaknya dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kemudian melakukan serbuan ke gudang terbabit untuk pemeriksaan.

“Hasil serbuan kita menemui lebih 1,000 tangki mengandungi sisa buangan separa pepejal disyaki buangan terjadual hasil daripada operasi di laut.

“Tiada sebarang tangkapan dilakukan kerana tiada individu berada di lokasi kejadian ketika serbuan. Sampel juga sudah diambil daripada tangki itu untuk di analisa di Jabatan Kimia Sabah.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti pihak bertanggungjawab berdasarkan label tertera pada tangki. Kes disiasat mengikut Akta Kualiti Sekeliling 1974 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penalti, iaitu penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak lebih RM500,000 jika sabit kesalahan,” katanya. – BH


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top