JANS Lambat Bertindak Antara Punca Masalah Air Di Sabah Berterusan – SAPP

yong-teck-lee004.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Presiden SAPP Yong Teck Lee berkata, “sikap buruk” Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang lambat bertindak antara faktor masalah bekalan air di negeri itu khususnya di Kota Kinabalu berterusan.

Katanya, laporan mengatakan JANS memerlukan beberapa minggu untuk membaiki pam air di Loji Rawatan Air Telibong mendedahkan pengurusan jabatan itu yang lemah kerana kurangnya penyelenggaraan pam air.

“Macam mana pihak JANS boleh tunggu pam rosak dulu baru panggil dibaiki? Ini kecuaian dan kegagalan menyediakan bekalan air yang tidak terputus.

“Sikap buruk jabatan ini seperti menunggu kereta rosak di tengah jalan sebelum menghantar kereta untuk diselenggara.

“Nasib baik, JANS tidak mengendalikan lapangan terbang dan syarikat penerbangan, yang mana pesawat itu sama sekali tidak dibenarkan rosak di udara,” katanya dalam kenyataan.

Yong berkata, masalah bekalan air berterusan di Sabah termasuk di Kota Kinabalu perlu diberi perhatian dan tindakan segera oleh pemimpin tertinggi kerajaan Sabah.

Katanya, air adalah keperluan harian untuk kelangsungan hidup, kebersihan dan kesihatan dan kekurangan air menjadi isu utama yang memberi kesan serius kepada lebih ramai orang.

“Ia adalah kecacatan serius dalam pengurusan dan penyelenggaraan jika pam ‘dibaiki’ selepas kerosakan, yang pembaikannya boleh mengambil masa berminggu-minggu.

“Ada sesuatu yang tidak kena dalam jabatan itu (JANS), orang ramai semakin marah,” katanya.

Justeru, Yong menyeru kerajaan negeri melakukan sesuatu mengenai gangguan bekalan air.

“Meletak hanya pegawai dan jurutera terbaik dan berkelayakan untuk bertanggungjawab ke atas JANS, selain menyalurkan lebih banyak dana untuk pembaikan serta penyelenggaraan dan untuk meminimumkan Air Tanpa Hasil (NRW) disebabkan paip pecah,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top