JANS diminta kemuka surat tarik balik batal projek

madius.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) diminta untuk mengemukakan surat penarikan balik bagi pembatalan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Kampung Kapa-Sinalapak Tamparuli sekiranya mahu projek itu diteruskan.

Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memaklumkan JANS perlu menyertakan bukti kukuh dan pengesahan penerimaan penduduk serta tiada lagi isu bantahan sepanjang tempoh pelaksanaan projek berkenaan.

Katanya, kementerian itu menyatakan demikian dalam jawapan bertulis untuk memberi maklum balas terhadap ucapan beliau pada Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur.

Madius yang juga Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, KKDW memaklumkannya, berikutan projek itu sudah lama diluluskan, justeru surat berkaitan hendaklah dikemukakan segera sebelum akhir tahun ini bagi tindakan susulan di peringkat kementerian.

Sehubungan itu katanya, pihak KKDW akan menangguhkan projek berkenaan sehingga isu bantahan dapat diselesaikan.

Dalam ucapannya, Madius memohon KKDW supaya pembatalan Projek Membina Loji Rawatan Air Terawat, BALB Kampung Kapa, Sinalapak dan sekitarnya ditarik balik.

Beliau berkata, menurut KKDW, pelaksanaan projek BALB di Kampung Kapa-Sinalapak dan sekitarnya dibatalkan Pihak Berkuasa Air Negeri (PBAN) Sabah akibat bantahan keras penduduk dari lima kampung di Kota Belud iaitu Kampung Bundu Paka, Tambatuon, Lingkubang, Porak Ogis, dan Kebayau Lama.

“Lokasi cadangan muka sauk dan loji rawatan air yang terletak di Sungai Kadamaian di Kampung Bundu Paka yang dibantah oleh penduduk tempatan mengakibatkan projek ini tidak mempunyai sumber air untuk disalurkan kepada penduduk di daerah Kota Belud dan Tuaran yang terlibat.

“Sebelum pembatalan projek diputuskan oleh PBAN, mesyuarat bersama Ketua-ketua Kampung terlibat diadakan di Pejabat Daerah Kota Belud pada 22 Mac 2023, disusuli dengan kunjungan hormat Ketua-ketua Kampung terlibat kepada Pengarah JANS pada 27 Mac 2023.

“Sesi dialog terakhir juga dibuat bersama penduduk kampung oleh PBAN bersama Pejabat Daerah Kota Belud pada 18 Julai 2023. Satu surat makluman bantahan penduduk kampung terlibat secara rasmi dikemukakan oleh Pejabat Daerah Kota Belud kepada Pengarah JANS pada 28 Julai 2023,” katanya.

Justeru jelasnya, pihak KKDW memaklumkan satu surat rasmi daripada JANS kepada kementerian bagi mengesahkan pembatalan pelaksanaan projek itu dikeluarkan pada 7 September 2023.

Dalam pada itu, Madius mengharapkan agar penduduk setempat mencapai kata sepakat memandangkan projek itu nanti akan memberikan manfaat kepada semua pihak termasuk penduduk kampung, sekolah-sekolah dan pengusaha-pengusaha eko pelancongan.

“Bantahan sebelum ini mungkin disebabkan oleh ketidakfahaman yang menyebabkan kekeliruan.

“Kita mengadakan pertemuan dan akan meneruskan siri dialog dengan penduduk kampung bagi memastikan projek bekalan air terawat yang mesra alam ini tidak terbatal begitu sahaja selepas lebih tujuh tahun saya memperjuang di Parlimen,” jelasnya.-Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top