Jangkitan Covid-19 Kanak-kanak Meningkat 160 Peratus

KJ.jpg
Kongsi Bersama

PUTRAJAYA: Kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak meningkat 160 peratus khususnya bermula pada minggu kelima dan keenam tahun ini dan ia agak membimbangkan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 6,524 kes dikesan membabitkan usia bayi hingga 11 tahun direkodkan pada minggu kelima.

Beliau berkata, sebanyak 2,822 kes dikesan membabitkan usia bayi baru lahir hingga kanak-kanak berusia empat tahun dan 4,242 kes lain membabitkan usia lima tahun dan ke atas.

“Bagi minggu keenam pula, sebanyak 16,159 kes direkodkan dengan 10,796 kes membabitkan usia bayi baru lahir hingga kanak-kanak berusia empat tahun dan 6,613 kes membabitkan lima tahun ke atas. Kami juga melihat peningkatan kes kemasukan kanak-kanak ke hospital sejak akhir-akhir ini selari peningkatan kes,” katanya dalam sidang akhbar pada Khamis.

Justeru, katanya, beliau berharap ibu bapa tampil segera mendaftarkan anak-anak mereka bagi mendapatkan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICK Kids).

Khairy berkata, buat masa ini, vaksin untuk kanak-kanak berusia empat tahun dan ke bawah belum diluluskan mana-mana negara, namun vaksin untuk kanak-kanak berusia lima tahun sehingga 11 tahun sudah diluluskan dan sedang dilaksanakan.

Menurutnya, beliau melihat penerimaan yang agak baik bagi PICK Kids, namun ia masih lagi rendah, malah pendaftaran belum sampai satu juta.

“Setakat ini, vaksinasi terhadap kanak-kanak di negara ini tidak mengundang kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) yang serius,” katanya.

Katanya, beliau juga tidak menolak kemungkinan peningkatan kes dalam kalangan kanak-kanak ini ada kaitan dengan pembukaan institusi pendidikan.

Pada masa sama, Khairy berkata, pihaknya akan menilai dengan lebih mendalam langkah intervensi yang perlu dilakukan khususnya bagi kes jangkitan membabitkan golongan bayi baru lahir hingga empat tahun.

Katanya, pihaknya akan mengeluarkan maklumat terperinci mengenai perkembangan ini minggu depan terutama  mengenai keadaan klinikal golongan ini yang perlu dirujuk ke hospital.

“Kami akan periksa sama ada mereka ada mengalami komplikasi yang lain atau tidak untuk mendapat gambaran lebih jelas. Minggu depan kita akan kemas kini ciri-ciri klinikal yang diperoleh daripada kes positif membabitkan golongan ini,” katanya.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top