Jangka hayat bagi rakyat Sabah yang baru dilahirkan adalah dua tahun lebih pendek pada tahun 2020, berbanding satu dekad yang lalu, menurut satu kajian.
Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendapati jangka hayat lelaki Sabah menurun daripada 75 tahun bagi mereka yang dilahirkan pada tahun 2010 – yang tertinggi pada masa itu – kepada 73 tahun bagi yang dilahirkan pada tahun 2020.
Begitu juga, jangka hayat wanita Sabah juga menurun daripada 78.3 tahun bagi mereka yang dilahirkan pada tahun 2010 – juga yang paling tinggi – kepada 76 tahun pada tahun 2020.
Namun, KRI memetik penjelasan Jabatan Perangkaan bahawa data mengenai pendaftaran kematian di negeri ini tidak lengkap kerana halangan fizikal yang tinggi, dengan banyak lokasi terpencil dan sukar dijangkau.
Sekiranya angka tersebut tepat, jangka hayat bagi bayi lelaki di Sabah yang baru lahir menurun daripada kedudukan teratas ke tempat kelima, manakala jangka hayat anak perempuan menurun dari tempat teratas ke ketiga terendah di negara ini.
Jangka hayat lelaki di Perlis juga menunjukkan penurunan, dengan mereka dilahirkan pada tahun ini dijangka hidup 69.2 tahun berbanding 69.6 tahun pada tahun 2010.
Jangka hayat wanita Perlis pula meningkat 0.1 tahun secara purata pada tahun 2020.
Statistik di negeri-negeri lain bertambah baik, walaupun lelaki di Terengganu, dan Kelantan masih mempunyai jangka hayat di bawah 70 tahun.
Namun, kajian ini mencatatkan bahawa jangka hayat rakyat Malaysia meningkat 11 tahun bagi lelaki dan 12 tahun untuk wanita, berbanding tahun 1970.
Angka kematian kanak-kanak juga menurun dengan ketara sejak tahun 1970, dengan kematian bayi baru lahir turun 81 peratus, kematian bayi 83.8 peratus lebih rendah, dan kematian di bawah lima tahun turun 86.2 peratus.
“Namun petunjuk-petunjuk ini secara beransur-ansur meningkat dalam dekad lalu. Angka kematian bayi baru lahir, bayi dan di bawah lima tahun masing-masing mencatatkan pertumbuhan tahunan lebih daripada 2 peratus dari 2014 hingga 2018, manakala angka 2019 mencatat penurunan,” kata KRI. – Malaysiakini