Jangan Ulas Kes Mahkamah Macam Wakili Parti, Kata KJ Pada Ahmad Maslan

KJ-mad-maslan.jpg
Kongsi Bersama

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin menggesa Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan untuk tidak membuat kenyataan menggambarkan Umno kecewa dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana beberapa kes mahkamah.

Khairy berkata kenyataan Ahmad tidak mewakili pendirian parti.

“Jangan bercakap bagi pihak parti untuk isu ini.

“Kamu dan beberapa yang lain akan kelihatan ingin melihat campur tangan pihak eksekutif dalam proses kehakiman, maka kita ini sama seperti Tommy Thomas dan (Lim) Guan Eng,” katanya dalam akaun Instagram.

Thomas dilantik sebagai peguam negara pada Jun 2018 lalu. Susulan itu, pada September tahun yang sama, tuduhan rasuah ke atas setiausaha agung DAP dan menteri kewangan ketika itu digugurkan.

Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan / Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria berkata, dia menggugurkan tuduhan ke atas Lim kerana melihat kesukaran pihak pendakwaan untuk memenangi kes tersebut.

Bahkan dia tidak memberitahu Thomas sehingga saat-saat terakhir. Penjelasan penuh boleh dibaca di sini.

Ahmad kini sedang dibicarakan atas dakwaan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterimanya daripada perdana menteri ketika itu, Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 2013.

Ketika dalam satu temu bual siaran langsung bersama Media Umno di Facebook 4 Jan lalu (Isnin), Ahmad mendakwa salah satu sebab utama Umno tidak puas hati dengan kerajaan adalah kerana langkah PN untuk meneruskan kes mahkamah terhadap parti tersebut dan para pemimpinnya.

“Ini tak wajar dibuat […] kes-kes yang dibawa ke mahkamah ini ialah kezaliman zaman (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad, (bekas peguam negara)Tommy dan (bekas ketua pesuruhjaya SPRM) Latheefa Koya.

“Mahathir dah tak ada dalam kerajaan, Tommy Thomas tak tahu ke mana, Latheefa Koya pun tak tahu pergi mana. Tetapi kenapa kes yang mereka bawa ini diteruskan?” soalnya dalam satu dialog dua hari lalu.

Katanya lagi, kes-kes tersebut menandakan kerajaan sekarang juga bertindak “zalim”, justeru PRU perlu diadakan untuk memilih kerajaan baru.

Pada 7 Jan lalu, Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dipengerusikan presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memutuskan untuk membawa usul isu hubungan tegang parti itu dengan Bersatu dalam Perhimpunan Agung Umno, yang dijadual 31 Januari ini. – Malaysiakini


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top