Jangan terpengaruh dengan dakyah media sosial

masiung.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Yussof J. Imbang

TELUPID: Jangan mudah terpengaruh dengan kandungan media sosial yang direka+reka golongan yang diupah parti-parti dalam blok pembangkang, kata Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah.

Katanya, platform media ketika ini disalah guna sesetengah pihak sebagai medium untuk dijadikan senjata halus bagi menyerang pemimpin kerajaan.

Wakil Rakyat Kuamut itu berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Outreach Belia SMJ yang dianjurkan oleh Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) di sini, pada Selasa.

Menurutnya, pemimpin parti-parti pembangkang yang bercita-cita tinggi sentiasa mencari jalan untuk menjatuhkan kerajaan pada masa kini dengan apa cara sekalipun termasuk melalui serangan di media sosial.

Katanya, fitnah merupakan senjata paling tajam digunakan untuk melemahkan sebuah organisasi, apatah lagi dalam dunia tanpa sempadan sekarang ini.

Beliau mengingatkan pemimpin muda, terdapat satu pendekatan terkini terhadap kerajaan, iaitu mencari kesalahan pemimpin, dan memfitnah mereka yang tidak bersalah.

“Sebagai pemimpin baharu kita perlu tahu bahawa tidak semua orang bawahan menyenangi kejayaan yang kita perolehi.

“Kadangkala pemimpin atasan suka dengan kita, tapi orang bawahan tak suka. Di pihak yang lain pula, orang bawahan sokong kita tapi pemimpin atasan sukar terima cara kita bekerja, ” jelasnya.

Tambah beliau, menjadi pemimpin bukan sahaja sebagai perantara kepada rakyat dan kerajaan, lebih dari itu pengorbanan peribadi perlu menjadi penanda aras kepada setiap perjuangan.

“Ramai pemimpin politik gagal meneruskan langkah ke hadapan kerana beberapa kekangan termasuk masalah kewangan.

“Hanya mereka yang benar-benar cekal sahaja mampu meneruskan kerjaya politik,” katanya.

Pengarah IKRAR, Azrul Ibrahim turut hadir menyentuni kira-kira 70 peserta outreach melibatkan belia-belia daripada kawasan Telupid dan Kuamut.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top