KUALA LUMPUR: Di tengah-tengah keghairahan pihak tertentu untuk berkuasa di Perak sehingga sanggup mempertimbangkan kerajaan gabungan termasuk dengan DAP, Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan (gambar) menegaskan bahawa kuasa politik itu penting, tetapi tidaklah sampai matlamat menghalalkan semua cara.
Beliau yang tidak mahu membuat spekulasi berhubung keadaan di Perak, berkata pendirian Naib Presiden Umno yang juga Ketua Umno Bahagian Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk tidak bekerjasama dengan PKR atau DAP sejajar dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi dan Perhimpunan Agung parti itu.
“Bagi saya, pendirian tegas tersebut bukan hanya terpakai di Bera kerana ia adalah soal dasar parti.
“Melainkan ada perubahan dasar yang dipersetujui, pendirian itu tetap kekal,” tulisnya di Facebook susulan taklimat isu semasa anjuran Penerangan Umno Pahang dan Bahagian di Bera serta Lipis pada Ahad.
Katanya, ahli Umno mengharapkan penamat harmoni seperti dinyatakan Setiausaha Agungnya, Ahmad Maslan kelmarin yang menggesa PPBM dan PAS terus bersama Umno serta mengekalkan kerajaan negeri pimpinan Perikatan Nasional tanpa penjajaran politik lain.
Beliau berkata, integriti dan prinsip ialah dua aspek terpenting dalam politik.
“Tanpa dua ramuan ini, kawan, lawan dan rakyat tidak akan ada keyakinan lagi kepada apa yang kita cakap.
“Kalau sampai suatu waktu orang tak percaya lagi apa kita cakap dan pejuangkan, apa lagi modal naratif yang kita nak bawa?
“Jika kita dengan parti lain ada garis merah yang tidak akan dikompromi, tentunya kita dalam parti dan dengan diri sendiri pun mesti ada garis merah,” katanya.