IPOH: Pendirian muktamad PAS berhubung kemelut politik negeri itu menjadi tumpuan susulan peletakan jawatan oleh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu semalam untuk memberi laluan kepada pelantikan menteri besar baharu.
Persoalan pokok adalah sama ada PAS akan memberikan sokongan kepada calon Umno sekiranya diperkenan sebagai Menteri Besar baharu oleh Sultan Perak.
Lebih-lebih lagi, jika calon Umno untuk jawatan itu terpaksa bergantung kepada Adun Pakatan Harapan (PH) bagi memperolehi sokongan majoriti di DUN Perak.
Lewat semalam, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengajak Umno ke meja perbincangan untuk memastikan Perikatan Nasional (PN) terus menerajui Perak sepenuhnya.
Beliau menegaskan kerajaan negeri yang bakal dibentuk harus dipastikan sebagai “bukannya kerajaan yang dikuasai oleh pembangkang.”
“Ia (Perak) harus kekal di bawah kerajaan PN. Ini perlu dijaga dan kalau ada apa masalah, perlu ada perundingan bersama. Apa pun, saya perlu menghormati Umno dan yakin parti itu ada jalan penyelesaian,” katanya.