KOTA KINABALU: Jangan menyalahgunakan jawatan dalam Bahagian untuk memburukkan imej pemimpin utama dalam parti di Sabah.
Anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) Diyan Ayu Rizkiyana Zaenal berkata, kenyataan Penyelaras AMK Tawau Tommy Thomas baru-baru ini adalah tidak wajar,
Katanya, dia tidak sepatutnya menggunakan jawatan Ketua AMK Tawau untuk mengeluarkan kenyataan kerana dia tidak memegang jawatan berkenaan.
“Ini jelas menunjukkan bahawa dia sendiri tidak tahu status jawatannya padahal ini adalah perkara asas yang dia kena faham sedalam-dalamnya sekiranya mahu jadi ketua.
“Kena peka dengan jawatan yang dipegang dan jangan pandang ringan. Saya ingatkan agar jangan terlalu gelojoh apabila menggunakan kedudukan melakukan sesuatu sehingga boleh ‘menggali kubur sendiri’,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, tindakan itu hanya menunjukkan dia terdesak atau kemaruk jawatan sehingga sanggup membuat tuduhan liar.
“Ada tiga persoalan yang dia perlu jawab, pertama adakah Jawatankuasa AMK Tawau wujud?.
Kedua berapa banyak aktiviti yang AMK Tawau lakukan dan ketiga berapa ramai AJK yang hadir turut serta apabila dia mengadakan aktiviti.
“Sekiranya jawapannya ya kepada soalan pertama, saya ucapkan tahniah tapi sekiranya jawapannya tidak, maka saya beri peringatan mesra iaitu selaku AMK agar jangan cepat memandai-mandai mempertikaikan kewibawaan Datuk Christina Liew selaku Pengerusi MPN Sabah,” katanya.
Katanya, Penyelaras AMK Tawau hanya pada nama sahaja sebab ramai dalam kalangan AMK Tawau tidak pernah mendengar ada aktiviti yang dilakukan untuk AMK Cabang Tawau.
Menurutnya, Biro Disiplin MPN Sabah perlu menyiasat dan mengambil tindakan sekiranya terdapat kesalahan.
Katanya, mereka yang menjadi dalang dalam kenyataan itu juga perlu keluarkan surat tunjuk sebab. Biro disiplin mesti meminta penyelasan daripada Ketua Cabang Tawau.
Sumber berita: Utusan Borneo