KOTA KINABALU: Parti pembangkang di negeri ini diingatkan tidak terlalu bermain politik sehingga mensabotaj usaha kerajaan negeri membawa pembangunan dan mengatasi isu lama yang membelenggu negeri itu.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata kerajaan negeri diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Plus (GRS-PH Plus) sentiasa memberi fokus membangunkan Sabah serta meningkatkan hasil negeri.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor juga memulakan tindakan mengatasi masalah diwarisi daripada kerajaan terdahulu.
“Tanggungjawab parti pembangkang yang baik adalah memberi teguran membina bagi kemajuan dan bukannya membuat tuduhan seolah-olah kerajaan tidak mengambil apa-apa langkah penyelesaian,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Nizam berkata, komitmen kerajaan GRS-PH Plus dalam membangunkan Sabah dapat dilihat menerusi projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon, Papar dan LRA Telibong II, Tuaran serta pembinaan empangan hidroelektrik di Ulu Padas, Tenom; selain menyediakan bantuan rumah mesra SMJ serta memperkasa modal insan termasuk dengan pemberian biasiswa pendidikan. – BERNAMA