KOTA KINABALU: ADUN Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, merayu kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Negeri Sabah agar mempertimbangkan semula keputusan merobohkan rumah keluarga Allahyarham Sarjan Abd Azis Sarikon di Kampung Simunul, Semporna.
Allahyarham Abd Azis, yang berasal dari Rengit, Batu Pahat, Johor, adalah seorang wira negara yang terkorban dalam insiden pencerobohan bersenjata oleh kumpulan Kiram di Semporna, Sabah. Menurut Mohd Puad, pengorbanan Allahyarham sepatutnya dikenang, bukan dilupakan.
“Sebagai seorang anak jati Rengit, saya berharap jasa Allahyarham tidak dipandang remeh. Tidak patut rumah isteri Allahyarham, Sitti Bandorah, yang juga anak jati Semporna, dirobohkan.
“Tindakan ini seolah-olah menunjukkan sikap ‘habis madu sepah dibuang’ terhadap wira negara,” tegas beliau dalam satu kenyataan.
Mohd Puad turut menyatakan kekesalan mendalam terhadap situasi ini, terutama apabila anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut hadir untuk melaksanakan perobohan rumah tersebut.
“Pedih mendengar isteri arwah berkata, ‘saya benci PDRM’. Sepatutnya keluarga wira seperti ini dihormati, bukan diperlakukan sebegini,” katanya, merujuk langkah yang diambil oleh pihak berkenaan sebagaimana dilaporkan Malaysiakini.
Beliau turut mengingatkan bahawa Malaysia baru sahaja memenangi kes tuntutan RM62.5 bilion oleh Sultan Kiram di Mahkamah Belanda, dan ini menunjukkan kerajaan mampu mempertahankan kedaulatan negara.
Namun, ironinya, sebuah rumah kecil milik keluarga wira negara tidak dapat diselamatkan.
“Saya merayu kepada KDN dan Kerajaan Sabah, carilah jalan untuk menyelesaikan isu ini. Jangan sampai keluarga wira kita dibiarkan teraniaya,” ujar Mohd Puad lagi.