Jangan Pinggirkan Kepentingan Pendidikan Anak-Anak Biarpun Waktu Sukar – Salleh

SSK-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pandemik COVID-19 yang melanda negara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk meminggirkan kepentingan pendidikan anak-anak, kata anggota Dewan Undangan Negeri Usukan Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata pendidikan wajar diberi perhatian meskipun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran, dugaan dan halangan.

“Saya faham tidak semua ibu bapa berkemampuan dalam menyediakan kemudahan dan keperluan pembelajaran anak-anak lebih-lebih lagi dalam dunia pengajaran pembelajaran norma baharu,” katanya.

Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian sempena Mesyuarat Agung Tahunan PIBG SMK Arshad Kali ke-23 Sesi 2020/2021 yang diadakan secara maya pada Jumaat.

Beliau berkata pandemik Covid-19 yang berterusan sejak awal tahun lepas telah memberi impak yang mendalam kepada seluruh masyarakat.

Katanya kesannya bukan sahaja dari segi menjalani kehidupan dalam norma baharu bagi mengekang penularan COVID-19, malah ramai yang terjejas sumber pendapatan dan ada yang hilang pekerjaan.

Menyedari masalah yang dihadapi ibu bapa terutama kalangan kumpulan dan golongan B40 di negara ini, Salleh berkata kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif dan program, termasuk bantuan persekolahan, Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin, bantuan tablet percuma untuk pelajar B40.

Beliau berharap dengan adanya bantuan seumpama itu, ia dapat mengatasi masalah kekurangan peralatan komputer atau tablet apabila “live streaming” berjalan serentak dalam kalagan anak-anak pelajar di rumah.

Selain itu, Salleh berkata Kementerian Pendidikan turut memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi memastikan pembelajaran anak-anak pelajar terus berjalan, sekali gus mengelakkan pelajar daripada keciciran.

Dalam hal ini, katanya Jabatan Pendidikan Sabah komited meneruskan pengajaran pembelajaran melalui alternatif pengajaran maya yang dikenali Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (SPdPR). –Jesselton Times


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top