Jangan Main-main Dengan PCS

anifah-e1599598097357.jpg
Kongsi Bersama

Dua hari lalu seramai 1,300 ahli PKR cabang Api-Api, yang diketuai naib pengerusi cabang, Roman Lo, didakwa bertindak keluar parti dan menyertai Parti Cinta Sabah (PCS).

Semalam Pengerusi Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Sandakan Haji Budun Haji Muari menyerahkan borang keahlian wakil Presiden PCS, Mazlan Latif di Hotel Livingston.di Sandakan. Beliau yang juga mantan Ketua Unit Pengurusan Sekolah di Pejabat Pendidikan Sandakan menyifatkan PCS sebagai parti alternatif pilihan rakyat Sabah.

Itu dua contoh berita mutakhir tentang perkembangan PCS. Mungkin banyak lagi peristiwa-peristiwa seumpamanya – menyerahkan borang keahlian dan menyertai PCS – sedang berlaku di seluruh Sabah sekarang, tetapi tidak dihebahkan atau belum dihebahkan.

Apa yang pasti ia memperlihatkan bahawa PCS seakan menghantar isyarat ‘jangan main-main dengan kami’.

Kesungguhan parti yang sedang dijenamakan semula sejak penyertaan bekas menteri luar, Datuk Seri Anifah Aman semakin menampakkan impaknya.

Anifah kini menjadi presiden parti itu selepas Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing memberi laluan kepadanya. Bumburing sekarang menjadi timbalan presiden.

Satu nama besar lain yang turut menjadi pemikat dan penarik ialah naib presiden, Datuk Pang Yuk Ming.

Gabungan ketiga-tiga tokoh itu dilhat benar-benar membawa roh baharu kepada PCS.

Anifah dan Bumburing terutamanya dilihat sebagai pejuang tegar hak-hak Sabah dalam MA63 yang pengaruh masing-masing kekal segar.

Sebelum ini parti itu lebih dikenali sebagai parti KDM, tetapi kebelakangan ini, dalam tempoh yang singkat ia mula kelihatan sebagai parti berbilang kaum.

Dalam usaha membina imej baharu sebagai parti berbilang kaum itu juga, PCS menukar namanya kepada Parti Kesedaran Rakyat Sabah. Bagaimanapun nama baharu itu belum diluluskan oleh RoS.

Sama ada kehadiran PCS dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti benar-benar mampu menggugat parti-parti besar lain, atau setakat menjadi pemecah undi, masih terlalu awal untuk diramalkan.

Tetapi secara peribadi, penulis berpendapat, jika PCS mengekalkan momentum gerak kerjanya seperti sekarang, banyak pihak lain terpaksa mencari Anifah dan Bumburing jika mereka mahu menjadi kerajaan di Sabah.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top