Jangan jadikan akta untuk sekat kebebasan rakyat

Hendri-Hamsah.jpg

Hendri Hamsah

Kongsi Bersama

LAHAD DATU: Ketua Pemuda PAS Negeri Sabah, Hendri Hamsah menyambut pandangan baik yang disuarakan oleh Ketua Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden berhubung isu Akta Keselamatan Dalam Talian yang kini menjadi perbincangan hangat.

Katanya, kewujudan Seksyen 252A yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk memintas komunikasi tanpa kelulusan mahkamah akan menimbulkan kebimbangan besar.

“Adakah langkah ini akan menjadikan negara lebih selamat, atau membuka pintu kepada penyalahgunaan kuasa yang menggugat privasi rakyat?

“Ada kemungkinan dengan wujudnya pemantauan tanpa batasan ini, akan mencetuskan kebimbangan bahawa kehidupan peribadi rakyat tidak lagi dilindungi,” ujarnya dalam satu kenyataan, kelmarin.

Menurutnya, rakyat berhak merasa risau jika komunikasi harian mereka boleh diakses tanpa kawalan yang jelas dan telus.

Katanya, Laporan Freedom House menunjukkan bahawa kebebasan internet di Malaysia terus merosot sejak 2022.

“Adakah akta ini akan mempercepatkan kemerosotan ini? Atau lebih memburukkan keadaan dengan memberi ruang kepada pihak tertentu untuk menekan suara yang tidak sehaluan?” ujarnya.

Menurutnya, Pemuda PAS negeri tegas menyatakan bahawa akta itu perlu digubal dengan penuh keadilan, ketelusan, dan disertai mekanisme semak imbang yang kukuh.

“Perkara ini harus menjadi alat untuk melindungi rakyat, bukan instrumen untuk mengekang kebebasan bersuara atau mencipta suasana ketakutan dalam kalangan rakyat.

“Kami menyeru semua pihak untuk memastikan keselamatan digital tidak dijadikan alasan untuk menindas hak dan kebebasan rakyat,” ujarnya lagi.

Menurutnya, keselamatan adalah keutamaan, tetapi ia tidak seharusnya mengorbankan hak peribadi dan kebebasan bersuara.

“Keselamatan mesti diperjuangkan tanpa menggadaikan privasi dan hak asasi rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top