KOTA KINABALU: Syarikat penerbangan diminta tidak mengenakan kadar tambang di luar kemampuan rakyat, ketika permintaan balik kampung meningkat terutama bagi laluan Semenanjung – Sabah dan di dalam negeri Sabah.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata syarikat penerbangan perlu mengambil kira kemampuan rakyat Sabah yang tinggal jauh dari keluarga dan tiada pilihan pengangkutan lain, selain perkhidmatan udara.
“Janganlah menghisap darah rakyat. Rakyat Sabah bukannya semua berkemampuan. Mereka hanya sekadar nak balik beraya dan berjumpa sanak-saudara setahun sekali.
“Kita difahamkan mulai bulan Mei akan datang penerbangan Firefly pula yang akan beroperasi di laluan domestik Sabah. Siapapun syarikat penerbangan yang melakukan operasi tolong jangan terlalu mengaut keuntungan. Jangan dera rakyat sabah,” katanya di sini.
Beliau mengulas rungutan ramai rakyat Sabah yang mahu menggunakan perkhidmatan udara untuk balik kampung sempena sambutan Aidilfitri minggu depan berdepan harga tambang terlalu mahal.
Harga tiket penerbangan yang terlalu tinggi dan tidak masuk akal menjadi isu utama yang sering dihadapi rakyat Sabah apabila mahu pulang menyambut perayaan di kampung halaman.
Bung Moktar berkata, beliau sering membangkitkan isu itu setiap kali menjelang sambutan perayaan bagi menyuarakan keluhan rakyat Sabah yang sukar balik kampung disebabkan tiket penerbangan terlalu mahal. – BHarian