Jangan Cetus Sentimen Untuk Dapat ‘Kelebihan’ Politik, Kata Maximus

Datuk-Maximus-Johnity-Ongkili.00.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili, meminta sekutunya dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, mengelakkan daripada “mencetuskan sentimen untuk kelebihan politiknya”.

Merujuk gesaan Kitingan baru-baru ini untuk mendraf perjanjian baharu bagi menyelesaikan status Sabah dan Sarawak di Malaysia, Ongkili berkata, banyak perkara di luar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dipertimbangkan, jika ia dilakukan.

Daripada “membuat cadangan tidak perlu”, Ongkili berkata, Kitingan yang juga timbalan ketua menteri Sabah sepatutnya memfokuskan usaha berterusan untuk menyelesaikan isu MA63.

“Perdana Menteri, Tan Sri  Muhyiddin Yassin, sangat bertolak ansur dan terbuka, memberi banyak ruang, khasnya dalam menangani isu MA63,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut belia, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, juga sangat ikhlas dalam menerajui usaha mengembalikan hak Sabah, oleh itu Jeffrey patut memberikan inisiatif ini peluang untuk berjaya, bukannya mengabaikan usaha (sedia ada) bagi mencari sesuatu yang tidak pasti dan akhirnya hilang.

Kitingan, yang juga presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), menerusi sebuah forum dalam talian pada minggu lalu berkata, Perlembagaan Persekutuan yang baharu ialah jawapan untuk menyelesaikan status Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Ahli Parlimen Keningau itu berkata, Perjanjian Malaysia yang baharu perlu dibuat kerana dokumen MA63 sedia ada tidak membuahkan hasil seperti yang dikehendaki dua negeri Borneo itu.

Ongkili, yang juga presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata: “Ini adalah perkara sensitif yang memerlukan pemahaman lebih baik. Kita perlu berhati-hati ketika menafsir keadaan ini.

“Jadi, jangan bercakap mengenai mendraf perjanjian baharu apabila anda belum pun membuat kajian sewajarnya. Jangan mencetuskan sentimen hanya untuk politik.”

Ongkili berkata, penting untuk mengetahui implikasi meninggalkan MA63.

“Kerajaan semasa sedang melakukan apa yang tidak pernah dibuat sebelum ini – menangani kekurangan. Kami sudah mengendalikan kelemahan ini, membetulkan perkara yang dikenal pasti jawatankuasa kerja di bawah Majlis Khas MA63 (MKMA63), serta rakyat Sabah dan Sarawak.

“Kita perlu memahami MA63 sebahagian daripada Akta Malaysia 1963 yang dibentangkan di Parlimen, serta Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak.

“Jika kita mahu mewujudkan perjanjian baharu, ia perlu dibentangkan di Parlimen dan kedua-dua DUN itu untuk kelulusan. Ia adalah proses yang panjang.”

Ongkili berkata, satu modul mengenai kandungan sejarah dan aspek perundangan MA63 perlu disediakan untuk membolehkan orang ramai, khasnya generasi muda memahami kepentingan pembentukan Malaysia.

Katanya, ini akan dilakukan dengan kerjasama Persatuan Undang-undang Sabah (SLS).

“Modul ini boleh menjadi bahan standard untuk sekolah dan libat urus awam.”

Kira-kira 800 pakar undang-undang dari SLS boleh melakukannya, katanya selepas menerima kunjungan persatuan itu yang diketuai Presidennya, Roger Chin di pejabat bahagian hal ehwal Sabah dan Sarawak di sini, semalam.

“Terdapat banyak penafsiran mengenai MA63 di luar sana dan kami berharap modul ini dapat menjelaskan fakta sebenar. Kami mahu mengelakkan orang ramai keliru dengan gambaran sebenar perjanjian bersejarah itu.”

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top