Jangan Buat Spekulasi Insiden ‘Dentuman’ – Polis Sabah

Datuk-Hazani-KP-Sabah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Polis Sabah menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden ‘dentuman’ yang difahamkan berlaku di kawasan Pantai Barat negeri itu, tengah hari tadi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya kini menyiasat perkara itu dengan menyeluruh dan masih mengenal pasti punca bunyi bising seakan letupan berkenaan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah membuat sebarang kenyataan terutamanya di laman sosial tanpa mendapat maklumat sahih,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Ahad.

Beliau berkata, setakat ini, tiada sebarang individu tampil membuat laporan berhubung kes berkenaan.

“Tiada sebarang letupan atau gegaran dilaporkan setakat ini.

“Siasatan telah dijalankan dan kami sudah menghubungi beberapa lokasi serta syarikat berkaitan seperti Asian Supply Base, Petronas Chemical Methanol dan Shell Hibiscus akan tetapi, tiada sebarang insiden dilaporkan.

“Terdapat laporan bunyi letupan kuat yang didengari di kawasan Pantai Barat itu sebenarnya berlaku di Muara Teluk Brunei, Brunei Darussalam,” katanya.

Jelas Hazani, polis akan menjalankan pemantauan secara menyeluruh dan memaklumkan segera sekiranya mempunyai maklumat sahih mengenai kejadian itu.

Terdahulu, Pengarah Meteorologi Negeri Sabah, Amir Zudi Hashim ketika dihubungi turut mendedahkan kejadian itu tidak berkaitan dengan sebarang insiden melibatkan fenomena alam. – astroawani


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top