‘Jangan Buang Masa Kejar Bayang-Bayang’, Kata Guan Eng, Mat Sabu

mat-sabu-guan-eng.jpg
Kongsi Bersama

Kegagalan pembangkang menolak Belanjawan 2021 sekali gus menjatuhkan Perikatan Nasional (PN) mengajar Pakatan Harapan (PH) agar mereka tidak membazirkan tenaga mengejar bayang-bayang atau membuang masa dengan ahli parlimen oportunis.

Malaysiakini melaporkan dalam satu kenyataan bersama, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata kelompok terbabit hanya memperalatkan PH untuk kepentingan peribadi agar memperolehi tawaran yang lebih lumayan daripada kerajaan.

“PH harus berdepan dengan realiti ini. Perlu ada suatu anjakan politik semula bagi tumpuan kepada menyatukan rakan-rakan kita di kalangan ahli parlimen pembangkang yang berdiri bersama kita pada hari Selasa.

“PH seharusnya tidak membuang masa dengan ahli parlimen kerajaan oportunis, dan hanya memperalatkan PH demi kepentingan peribadi mereka sendiri agar memperolehi tawaran yang lebih lumayan daripada kerajaan PN,” kata mereka.

Lapor portal itu Mohamad dan Lim juga berkata masa dan sumber yang ada harus digunakan untuk mencari persamaan dalam kalangan rakan dan sekutu PH untuk menggerakkan perjuangan bersama rakyat berdasarkan nilai demokrasi yang utuh, tadbir urus yang baik, antirasuah, kemajuan ekonomi dan keadilan sosial.

Dengan kata lain, kata ahli parlimen terbabit, daripada 92 ahli parlimen PH, gabungan itu harus memperluas lingkungan untuk menumpukan perhatian kepada 16 ahli parlimen lain yang bersama-sama mengundi menolak Belanjawan 2021 baru-baru ini untuk membentuk PH Plus.

“Undian belanjawan pada Selasa mengajar kita untuk tidak membazirkan tenaga mengejar bayang-bayang lebih daripada 111 MP (ahli parlimen) dengan berdasarkan hanya 92 ahli parlimen PH.

“Andai kata (usaha meluaskan lingkungan itu) berdasarkan 108 ahli parlimen PH Plus, betapa kuat laginya!”kata kenyataan itu.

Selasa lalu Belanjawan 2021 diluluskan dengan majoriti tipis apabila ia hanya dibezakan dengan tiga undi di antara penyokong kerajaan dan pembangkang.

Seramai 111 ahli parlimen menyokong manakala 108 lagi menolaknya.

Belanjawan itu diluluskan di tengah-tengah kemelut negara yang menjangkakan kerajaan PN akan tumbang apabila Belanjawan 2021 ditolak.

Sehari sebelum bacaan kali ketiga berlangsung di Dewan Rakyat bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah tampil menawarkan diri untuk menerajui negara jika PN tumbang

Tengku Razaleigh yang juga pengerusi jemaah penasihat Umno turut mengulangi pendiriannya untuk menolak belanjawan tersebut.

Sebelum ini Presiden PKR merangkap Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan mendapat sokongan yang kukuh dan meyakinkan untuk membentuk kerajaan baharu.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top