Jangan Berdolak-dalik, Laksanakan Segera MA63 – Azhar

azhar.jpg

Azhar

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili perlu memperjuangkan 40 peratus hasil pungutan cukai yang sepatutnya dikembalikan kepada kerajaan Sabah sejak tahun 1963.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan, Azhar Matussin berkata pengumuman Dr Maximus berkaitan sejumlah 15 isu di bawah pemantauan Majlis Khas mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang masih belum diselesaikan adalah tidak relevan.

Katanya, Maximus sepatutnya melaksanakan segera perkara yang sudah termaktub dalam MA63.

“Dalam MA63 sendiri sudah terang serta menjelaskan secara terperinci mengenai hak-hak serta tanggungjawab masing-masing di antara Kerajaan Persekutuan dengan Wilayah Sabah dan Sarawak.

“Apa yang susah sangat untuk dilaksanakan…Maximus kena buka balik MA63 dan laksanakan. Tidak perlu pilih mana yang perlu dilaksanakan dan mana yang tidak perlu laksanakan.

“Sudah cukup jelas MA63 telah dipersetujui sejak awal dan perkara ini pun telah ditandatangani,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau berkata setakat ini tiada keperluan untuk MA63 dirunding lagi kerana ia adalah satu perjanjian antarabangsa membabitkan United Kingdom of Britain, Northern Ireland, North Borneo, Malaya, Sarawak dan Singapura.

“MA63 tidak boleh diubah samada ditambah atau dikurangkan walaupun satu huruf….sudah 59 tahun perjanjian itu ditandatangani…ia perlu dilaksanakan segera secara total,” katanya.

Azhar berkata sebarang percubaan atau cadangan untuk mengubah MA63 perlu melibatkan semua negara yang menanda tangani perjanjian asal MA63.

“Parlimen sendiri pun tiada kuasa untuk membuat sebarang perubahan kepada MA63 kerana ia adalah dua entiti yang berlainan.

“Maximus perlu berjiwa besar sebagai seorang anak Sabah. Lebih-lebih lagi sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Sabah dan Sarawak,” katanya.

“Maximus, jangan gadaikan hak dan maruah orang Sabah sebaliknya berusahalah dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan hak rakyat negeri ini,” katanya.- Borneo Today

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top