Jangan Belakangi YDP Agong Dalam Ghairah Mahukan PRU15 – Nazri

nazri.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengingatkan pemimpin UMNO yang ghairah mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) segera diadakan agar tidak membelakangi Yang Di-Pertuan Agong.

Mohamed Nazri mengingatkan pihak yang mahu Parlimen dibubarkan segera agar tidak mengheret Seri Paduka Baginda dalam kancah politik negara.

“Jangan kita mendesak kerana sebenarnya kuasa untuk membubarkan Parlimen adalah kuasa Yang Di-Pertuan Agong, bukan bila Perdana Menteri nasihat, Yang Di-Pertuan Agong kena buat.

“Perlembagaan kita bukan seperti itu, ia terpulang kepada budi bicara Yang Di-Pertuan Agong kerana baginda berhak untuk menolak nasihat Perdana Menteri atas alasan seperti pandemik yang masih berlarutan dan keadaan ekonomi rakyat yang belum stabil.

“Kita jangan mendesak dan tidak perlu menekan Yang Di-Pertuan Agong. Kalau kita menekan, ia seolah-olah kita mengheret baginda dalam kancah politik negara,” katanya kepada Astro AWANI.

Mohamed Nazri juga menegaskan kerajaan yang ada hari ini masih stabil dan tidak diancam oleh mana-mana pihak yang mahu menarik sokongan.

Malah tegas beliau, Pakatan Harapan (PH) juga ingin menyambung Perjanjian Persefahaman (MoU) yang akan tamat pada Julai nanti.

“Jangan pula dilihat UMNO yang memberi tekanan kepada kerajaan, jangan pula UMNO dilihat mahu menjatuhkan kerajaan yang mana perdana menterinya dari UMNO,” katanya lagi.

Beliau juga mengingatkan pemimpin UMNO yang mahu Parlimen dibubarkan bahawa rakyat akan menghukum pihak yang sengaja mahu mengadakan pilihan raya.

Mohamed Nazri memberi contoh kekalahan Parti Warisan di Sabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kerana Ketua Menteri Sabah ketika itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Di Melaka, tiga dari empat wakil rakyat yang menarik sokongan telah kalah bila mereka bertanding dalam PRN Melaka.

“Di Sarawak, dibubarkan kerana telah tamat tempoh dan di Johor pula kerana perlukan kestabilan maka ia amat berbeza dengan kerajaan pusat yang memang stabil sekarang.

“Jika UMNO mahu Parlimen dibubarkan, rakyat akan melihat UMNO mengambil kesempatan dan ini menyebabkan pengundi akan menolak UMNO dan BN,” tegas beliau.

 

Berita asal:.AWANI


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top