James Ratib Kini Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Sugut

James-Ratib.jpg

Datuk James Ratib

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: ADUN Sugut, Datuk James Ratib dilantik sebagai Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sugut.

Menurut laporan Sinar Harian, perkara itu dimaklumkan oleh James sendiri.

James dilaporkan berkata proses penyertaannya dalam Gagasan Rakyat sudah selesai.

“Saya sudah isi borang, malah saya kini ketua bahagian Sugut,” katanya.

ADUN itu sebelum ini dipecat oleh UMNO kerana menyokong Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah. Pendirian itu bertentangan dengan keputusan Umno Sabah yang menarik sokongan terhadap kerajaan Sabah pada 6 Jan lalu.

Mengenai perkara itu James berkata, beliau sedia maklum dengan pemecatan oleh UMNO, tetapi tidak menerima sebarang surat daripada parti itu sehingga kini.

“Saya tidak terima apa-apa surat (pemecatan), cuma mereka cakap saja, tetapi memang saya tahu saya dipecat dan saya pun memang mahu keluar (UMNO) juga,” katanya.

Selain James tiga lagi ADUN UMNO yang diumumkan pemecatannya oleh Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin pada 10 Februari lalu ialah Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit).

Adun Tanjung Keramat yang juga Ahli Parlimen Putatan, Shahelmey Yahya pula digantung keahlian selama enam tahun atas sebab yang sama.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top