KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib menghulurkan bantuan sebanyak RM3,000 kepada Crisnanalina Jumis, 20 sebagai bantuan untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Bantuan kepada pelajar dari Kampung Dalamas, Paitan itu disampaikan oleh Setiausaha Perhubungan Awam (SUPA) Menteri KPMKR, Justinus Jalang.
Crisnanalina diterima masuk ke UMS selepas menamatkan Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pitas, namun dilaporkan berdepan kesukaran untuk membayar yuran pendaftaran berikutan ketidakmampuan keluarga.
James yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, berkata, selaku pemimpin di kawasan berkenaan, beliau sentiasa membantu sesiapa saja tanpa mengira fahaman politik.
“Apa yang penting ialah maklumkan saya. Saya selaku wakil rakyat di Sugut, tiada halangan untuk membantu kepada mereka yang memerlukan bantuan.
“Masalahnya, kalau tidak minta bantu hanya mungkin kerana perbezaan fahaman politik, macam mana saya tahu?” katanya.
Difahamkan keluarga Crisnanalina tidak memaklumkan kepada Pejabat ADUN atau Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sugut atau wakil rakyat kawasan itu berhubung masalah yang dihadapi.
James berkata, perbezaan ideologi politik atau kekangan lain mungkin membuatkan mereka segan untuk memohon bantuan.
“Tapi, wakil rakyat Sugut tidak dimaklumkan sendiri oleh keluarga ini masalah perbelanjaan dihadapi mereka untuk anak mereka yang sambung belajar.
“Sebagai wakil rakyat, saya sentiasa terbuka untuk membantu rakyat yang memerlukan termasuklah masalah bayaran hospital (pembiayaan bayaran bil pesakit dalam wad hospital) kepada rakyat, apatah lagi pendidikan anak-anak di kawasan ini.
“Itu sebabnya saya telah melancarkan Tabung Pendidikan Datuk James Ratib (TDJR), baru-baru ini untuk anak-anak Sugut bermula 2025.
“Ini kerana saya mahu tiada anak-anak Sugut yang tercicir dalam pelajaran terutama melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti tidak kira IPTA atau IPTS,” katanya.
James berkata, beliau sangat prihatin terhadap pendidikan anak-anak Sugut dan mustahil untuk beliau tidak membantu seadanya sekiranya mereka (ibu bapa pelajar) menghubunginya melalui telefon, surat permohonan atau datang berjumpa sendiri dengan beliau atau sekurang-kurangnya pegawai-pegawainya di kawasan Sugut.
Katanya, bermula tahun depan, beliau menyediakan inisiatif Tabung Pendidikan DJR Dun Sugut untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan, dengan harapan tiada lagi masalah seperti ini.
“InsyaAllah, dengan adanya Tabung Pendidikan DJR bermula tahun depan, 2025, tiada lagi pelajar-pelajar yang melanjutkan pelajaran ke peringkat kolej atau universiti dari kawasan Sugut tercicir atas sebab kewangan.
“Tabung ini akan membiayai perbelanjaan awal terutama sekali yuran pendaftaran dan bayaran-bayaran awal. Tabung ini sekurang-kurangnya meringankan beban keluarga,” katanya.
Tambahnya, sebelum Tabung Pendidikan DJR bermula tahun depan, mana-mana pelajar anak jati Sugut yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran tidak perlu segan atau berdiam diri untuk menghubungi beliau.
“Ini kerana saya selaku wakil rakyat Sugut sentiasa terbuka untuk membantu seadanya. Kalau saya tidak diberitahu atau dimaklumkan, sayapun tidak tahu apa masalah yang dihadapi.
“Saya hanya tahu perkara ini apabila sebuah akhbar tempatan kemarin melaporkan masalah isu pelajar dari kawasan saya yang mendaftar di UMS seperti yang tular di media sosial,” katanya.
Semenrata itu, Crisnanalina menzahirkan ucapan terima kasih dan terharunya kepada James yang begitu prihatin dengan menyumbangkan RM3,000 kepadanya untuk meringankan kos perbelanjaannya mendaftar di UMS.
Kisah Crisnanalina yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke UMS tetapi menghadapi kekangan kewangan, tular sejak kelmarin.
Kemarin, UMS dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud turut menyatakan komitmen universiti dan pihak kementerian untuk membantu Crisnanalina supaya dapat melanjutkan pengajian di universiti itu. – Utusan Borneo