Jambatan Runtuh Di Kota Belud, Lebih 4,000 Terputus Hubungan

jambatan-kota-belud-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA BELUD: Kira-kira 4,000 penduduk di lima kampung sekitar sini terputus hubungan selepas laluan di jambatan menghubungkan kampung itu dengan kawasan luar, runtuh petang semalam susulan hujan lebat sejak Isnin..

Lima kampung terbabit ialah Kampung Nahaba, Talungan, Terintidon, Tegudon dan Kampung Sayap.

Seorang petani dari Kampung Sayap, Sinim Embom, 58, berkata pada mulanya beliau sekeluarga merancang membeli barangan untuk majlis perkahwinan saudara mereka, namun bencana itu menimbulkan pelbagai kesukaran untuk keluarganya.

“Kami terpaksa menunda majlis. Keadaan ini juga memberi kesulitan kepada penduduk kampung kerana laluan itu adalah utama kami ke pekan. 

“Kesulitan itu sangat dirasai lebih-lebih lagi petani seperti saya yang harus mengangkut hasil pertanian ke pekan setiap hari,” katanya.

Semalam BERNAMA melaporkan Jabatan Kerja Raya Sabah dalam kenyataan memberitahu laluan di Kilometer (KM) 4.3 di Jalan Sayap, di sini, Belud ditutup kerana terdapat kerosakan pada laluan jambatan susulan hujan lebat berterusan dan tiada jalan alternatif untuk pengguna jalan itu.

Seorang peniaga di Kampung Talungan, James Taiman, 69, berkata kejadian jam 2 petang itu benar-benar menyukarkan kehidupan kira-kira 4,000 penduduk.

Sementara itu seorang penduduk kampung dari Kampung Nahaba, Serupi Lambang, 46, berkata beliau sangat berharap pihak berwajib dapat membina jambatan konkrit segera.

“Tolong bina sebuah jambatan konkrit yang baik untuk keselesaan penduduk di sini. Jambatan yang runtuh ini sudah terlalu usang dan sepatutnya diganti lama dahulu sebab jambatan ini sangat penting memandangkan penduduk kampung tidak mempunyai jalan hubungan yang lain untuk ke bandar,” katanya.

Sementara itu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memberitahu satu pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir ditutup petang ini iaitu di Dewan Terbuka Kampung Saga di Tenom.

Lima lagi PPS masih dibuka di Tenom menempatkan 333 mangsa daripada 124 keluarga, manakala dua lagi PPS di Beaufort menempatkan 352 mangsa daripada 95 keluarga.

Keseluruhan mangsa banjir menurun pagi ini kepada 685 mangsa daripada 219 keluarga, berbanding 707 mangsa daripada 323 keluarga pada petang semalam, menurut kenyataan itu. – BERNAMA

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top