Sebuah jambatan kayu yang telah siap dibina bernilai RM50,000 di Kampung Mutap, Bekenu, Miri ini mengundang pelbagai reaksi dan komen dari netizen yang mempersoalkan nilai sebenar hasil jambatan tersebut.
Menerusi gambar yang dikongsikan oleh Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak pada Khamis lalu, projek jambatan tersebut dikenali sebagai ‘Bina Baru Jeti Kampung Mutap’ bagi menggantikan jeti lama yang telah rosak.
Bagaimanapun, rata-rata komen netizen mempersoal serta membandingkan harga yang diletak untuk menyiapkan projek berkenaan terlalu tinggi dari hasil sebenar jambatan kayu sepanjang 15 meter berkenaan.
Menurut JKR Sarawak, jambatan tersebut mengambil masa sebulan untuk siap sepenuhnya pada April tahun ini, malah lebih awal dari perancangan sebenar.
“Projek RTP (Rural Transformation Programme) DUN N.71 Bekenu, Bina Baru Jeti Kampung Mutap merupakan salah sebuah projek di bawah seliaan JKR Miri dengan kos projek berjumlah RM50,000.
“Skop kerja bagi projek tersebut adalah pembinaan jeti 1m lebar x 15m panjang.
“Dengan siapnya jeti ini, ianya akan memudahkan penduduk Kampung Mutap, Bekenu untuk menjalankan aktiviti harian khususnya ketika berlaku banjir serta air pasang besar kerana penduduk kampung akan menggunakan laluan sungai sebagai laluan alternatif untuk ke pasar Bekenu,” memetik perkongsian Unit Komunikasi Korporat JKR Sarawak di Facebook.
Dan berikut antara reaksi balas yang diberikan netizen:
“Terbaik Kerajaan Negeri Sarawak…sepatutnya kalau dilihat project ni saya rasa rm 100,000 tapi dapat dijimatkan rm 50,000 terbaikk.. sayang abang jo,” kata salah seorang netizen.
“Sepatutnya, kos 50k dah boleh buat sebuah jeti konkrit lengkap dengan ciri-ciri keselamatan, tak pun sebuah jambatan simple dengan penghadang yang boleh sampai ke tebing sungai sana,” kata netizen yang lain.
“RM 50K ya. Beli kayu, upah Bangla etc. Less rm20k. Balance? Administrative cost, consultant fee etc.” komen yang seorang lagi.