SEMPORNA: Presiden Parti Warisan (WARISAN) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mengambil tindakan pantas melawat keadaan jambatan runtuh di Kampung Bangau-Bangau, di sini pagi semalam.
Beliau diiringi Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah dengan menaiki bot melihat keadaan kampung berkenaan.
Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada pihak Pejabat Daerah Semporna supaya mengambil tindakan pantas membaik pulih jambatan berkenaan.
Katanya, jambatan itu adalah laluan utama penduduk untuk menjalankan aktiviti harian dan kini akses jalan menghubungkan kampung atas air berkenaan ke daratan sudah terputus.
“Pihak berwajib perlu cepat bertindak kerana musim persekolahan bakal bermula dan ia sudah tentu menyukarkan pelajar untuk ke sekolah.
“Justeru, peruntukan khas perlu diberikan untuk membina semula jambatan konkrit sepanjang 200 meter itu secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat keadaan kampung berkenaan, di sini hari ini. Turut sama Naib Presiden WARISAN Datuk Jaujan Sambakong.
Mengulas lanjut, katanya, kerajaan negeri juga perlu melihat pembinaan jambatan ini suatu keperluan mendesak kepada rakyat di kampung berkenaan.
“Kerajaan perlu tampil lebih awal sama ada memberikan bantuan awal kepada penduduk terjejas dan pembinaan semula jambatan berkenaan,
“Saya juga difahamkan sebuah pasar ikan dan rumah penduduk turut runtuh dalam kejadian itu, selain terdapat mangsa yang mengalami kecederaan,” katanya.
Terdahulu, kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.30 malam, semalam itu telah menyebabkan sebuah jambatan konkrit yang menghubungkan Kampung Bangau-Bangau Atas Air dengan daratan telah runtuh.
Sumber: Utusan Borneo