Jambatan Konkrit Bakal Legakan Penduduk Kampung Sanang Dalit

jambatan-kg-sanang-dalit.jpg
Kongsi Bersama

KENINGAU: Penduduk Kampung Sanang Dalit, Sook akhirnya berjaya menarik nafas lega apabila sebuah jambatan konkrit sedang dibina bagi menyeberangi sungai tersebut.

Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, tindakan segera telah diambil bagi membolehkan penduduk kampung untuk menggunakan jambatan tersebut sebagai laluan utama ke Pekan Sook.

“Jambatan yang dibina pada tahun 1970-an telah runtuh disebabkan oleh banjir kilat. Oleh itu, penduduk terpaksa menggunakan jambatan sementara yang dibina secara bergotong-royong.

“Kerja-kerja pembinaan jambatan baharu telah bermula dan akan mengambil masa selama 3 minggu untuk disiapkan,” katanya.

Tambahnya, pembinaan jambatan konkrit ini membolehkan penduduk kampung untuk berulang-alik dengan menggunakan kenderaan seperti kereta dan motor kerana sebelum ini, mereka terpaksa berjalan kaki untuk pulang ke rumah dan meninggalkan kenderaan di seberang sungai.

“Apabila siap nanti, keselamatan penduduk akan lebih terjamin terutama bagi mereka yang sering menggunakan laluan ini untuk membawa ahli keluarga mendapatkan rawatan di klinik berhampiran,” katanya.

Jambatan baharu ini dibina melalui peruntukan khas oleh Ahli Parlimen P.182 Pensiangan.

Arthur yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) berkata, Kerajaan sentiasa memberi tumpuan bagi kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Justeru, dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), Kerajaan telah mewujudkan satu bab khusus untuk Sabah dan Sarawak bagi membolehkan tumpuan sepenuhnya diberikan.

Pada 16 Julai 2021 lalu, Arthur bersama Paul F. Isidore, Penolong Pegawai Daerah Kecil Sook telah mengadakan lawatan ke Kampung Sanang, Dalit bagi meninjau keadaan jambatan tersebut yang memerlukan pembaikan segera. – Warta Oriental


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top