Oleh: Jaywahid
KEMABONG: Bersimpati dan bimbang akan keselamatan penduduk kampung terutamanya di kampung Pantongan Sapong yang melalui sungai, Pengerusi SUDC Jamawi Jaafar tampil menghulurkan sumbangan jaket keselamatan untuk kegunaan penduduk di kampung tersebut.
Menurut beliau jaket keselamatan itu penting memandangkan kebanyakan penduduk terpaksa melalui sungai menaiki sampan dalam keadaan arus yang deras. Selain ia juga berguna bagi keselamatan penduduk yang terpaksa meredah arus ketika banjir berlaku.
“Dengan adanya jaket ini, keselamatan mereka terjamin semasa melalui sungai atau meradah arus deras banjir, ” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan tersebut dan sumbangan bakul makanan di beberapa buah pusat penampatan sementara yang terlibat banjir di Kemabong baru-baru ini.
Sementara itu Jamawi bersama rombongannya juga turut menyalurkan bantuan bakul makanan kepada mangsa-mangsa banjir di beberapa buah pusat penempatan sementara antaranya di kampung Makakagas, Inubai, Surau lama Paal Seberang, Dewan Gereja Skim Kuala Tommani, Masjid Baru Paal Seberang, Sindungon, Kalang Kanar, Ponotomon, Dewan Chung Hwa, Pantungon Saga, Sk Saga, Batu-Baru Saga, Mandalom Lama, Dewan Jinuin Jimin Mandalom, Sk Mandalom, Paguokon Laut, Marais Lama, Kampung Manas, Skim Kuala Tomani, Mamaitom dan Kalibatang Lama.
” Walaupun bantuan ini agak lewat sedikit kerana faktor jalan yang dilalui ditenggelami banjir namun kita berharap dengan sedikit bantuan ini akan dapat meringankan bebenan mangsa-mangsa yang terlibat, ” katanya.
Menurut Jamawi yang juga bekas wakil Rakyat Kemabong banjir kali ini adalah terburuk untuk tahun ini yang banyak mengorbankan harta benda penduduk, tanaman selain merosakan sistem kemudahan asas seperti jalan raya dan jambatan.
“Seperti kata pepatah berat mata memandang berat lagi bahu mereka yang terjejas memikul saya harap mereka tabah dan bersabar menerima dugaan yang diluar jangkaan ini, ” katanya.
Beliau yakin kerajaan akan mengambil tindakan yang proaktif bagi membantu penduduk yang terjejas selain memperbaiki segera segala kerosakan kemudahan asas seperti jalan raya dan jambatan agar tidak menjejaskan kehidupan masyarakat setempat.