KOTA KINABALU: Penyandang Ketua Badan Belia Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (BELIA USIA) Datuk Jamawi Jaafar akan mempertahankan jawatan tersebut pada pemilihan di mesyuarat Agung USIA Ke-38 di The Klagan Regency 1 Borneoyang berlangsung selama tiga hari bermula 6 Disember ini.
Difahamkan Jamawi akan dicabar Ketua Belia Usia bahagian Tamparuli Syahfiq Edul dalam pertandingan satu lawan satu.
Jamawi yang menjawat jawatan tersebut sejak tahun 2015 telah memegang jawatan tersebut selama tiga penggal dan pada pemilihan tahun ini sekali lagi bertanding mempertahankan jawatan tersebut kerana menghormati hasrat ketua belia bahagian-bahagian yang mencalonkan beliau untuk meneruskan kepimpinan bersama Belia USIA.
“Saya menghormati pencalonan dari rakan-rakan Ketua Belia USIA bahagian yang mahukan saya mempertahankan jawatan pada pemilihan kali ini dan insya-Allah kita pikul tanggungjawab yang diberikan sekiranya diberikan mandat oleh perwakilan pada pemilihan kali ini,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.
Pada pemilihan kepimpinan tertinggi Belia Usia tahun ini, lebih separuh daripada ahli jawatankuasa Belia Usia Pusat yang sedia ada akan mengundurkan diri atas faktor umur, di mana majoriti mereka sudah melebihi had umur 40 tahun. Mengikut pindaan akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia mereka yang melebihi had umur itu tidak boleh menduduki kerusi jawatankuasa dalam Belia USIA. Walau bagaimanapun jawatankuasa tertinggi telah memutuskan jawatan Ketua Belia boleh dipegang oleh mereka yang berumur lebih 40 tahun.
Dalam pada itu Jamawi turut menzahirkan penghargaan serta terima kasih kepada Ketua-Ketua dan ahli jawatankuasa Belia Usia yang bakal mengakhiri tugas mereka bersama Belia USIA selepas pemilihan kali ini.
Menurut beliau tanpa sokongan kerjasama serta semangat kerja berpasukan yang menjadi budaya kerja gerakan Belia USIA, sudah pasti beliau tidak mampu menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Belia USIAN untuk tempoh tiga penggal sebelum ini.
“Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada mereka yang bakal meninggalkan gelanggang belia USIA tahun ini , dan berharap mereka akan meneruskan perjuangan serta khidmat bakti dalam gerak kerja dakwah bersama kepimpinan USIA di peringkat pusat ,bahagian dan cawangan”
“Saya juga mengucapkan selamat datang dan selamat bertanding kepada calon-calon baharu jawatankuasa Belia USIA Pusat. Bertandinglah secara sihat dan penuh dengan semangat ukhwah dan seterusnya memikul tugas serta tanggungjawab dengan penuh amanah dan dedikasi sekiranya terpilih demi menyemarakkan gerakan dakwah dan memartabatkan agama Islam,”katanya.
Sepanjang tempoh tiga penggal Jamawi mengetuai Belia USIA Sabah banyak program telah dilaksanakan baik di peringkat pusat ,bahagian dan cawangan-cawangan.
Antaranya ialah Program Cakna Saudara Baru Pedalaman di Keningau,program Membara dan Ihya Ramadan, Bicara Anak Muda bersama Ustaz Syamsul Amri Ismail (Syamsul Debat) di Tenom, Jambori Belia USIA Peringkat Negeri di Sandakan, Program Dakwah Bersama Pelajar IPT di Sepanggar, bantuan kepada mangsa kebakaran, keluarga kurang berkemampuan dan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan semasa negara dilanda COVID19, Program Ziarah Ramadan, dan Ziarah Dakwah di Kampung Pulau Keniogan, Beluran.
Sementara itu Ketua Belia USIA bahagian Sandakan Usatz Mohamad Sufan Bahrin ketika ditemui berkata, Jamawi wajar diberikan sokongan oleh para perwakilan untuk mengekalkan jawatannya dalam pemilihan kali ini memandangkan reputasi cemerlang beliau memimpin Belia USIA selama ini.
Mohamad Sufan berkata,selama beliau memimpin Belia USIA banyak program-program dakwah dan kebajikan telah dianjurkan meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran antaranya kekangan kewangan dan penularan COVID19, namun kegiatan tetap dijalankan walaupun dalam skala kecil.
Bagi ahli jawatankuasa Belia USIA, Ustaz Mohd Said Awang Damit, dengan latar belakang yang dimiliki sebagai pemimpin muda, sama ada dalam badan-badan NGO dan badan politik sudah tentu Jamawi mempunyai daya kepimpinan dan kredibiliti untuk terus memimpin Belia USIA.
“Kepimpinan serta kredibiliti dari seorang pemimpin amat penting bagi memastikan Belia USIA terus melangkah ke hadapan mendepani cabaran bagi meneruskan kelangsungan gerakan dakwah di negeri ini,” katanya.
Berita asal: Jesselton Times