Jamawi Ikrar Sambung Agenda Yang Tergendala

Jamawi.jpg

Jamawi menerima watikah pencalonan daripada Bung Moktar.

Kongsi Bersama

Oleh: Jaafar Abd Wahid

KOTA KINABALU: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Tenom Jamawi Jaafar berazam menawarkan pelbagai agenda bagi menyambung yang tergendala semasa menjadi ADUN dahulu.

Lulusan Sarjana Muda Sain Pertanian dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Jamawi, 48, yang menjadi ADUN Kemabong dari 2018 hingga 2020 berkata beliau bersyukur kerana terpilih sebagai calon BN PRU15 ini dan berjanji akan memikul amanah itu dengan sebaiknya.

“Saya amat berterima kasih atas kepercayaan kepimpinan tertinggi (BN) khususnya kepada Pengerusi BN Pusat Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi (BN) Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yang meletakan kepercayaan memilih saya sebagai calon BN di kawasan Parlimen Tenom.

“Ini merupakan satu amanah serta tanggungjawab besar yang perlu saya galas bagi memastikan Parlimen Tenom menjadi salah satu penyumbang kemenangan BN bagi membentuk kerajaan yang lebih stabil,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman serentak calon-calon BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di sini semalam.

Ditanya mengenai peluang beliau pada PRU kali ini, Jamawi berkata ketika menjawat jawatan Ketua Pemuda Umno Tenom, beliau sering turun padang melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk kebajikan sekali gus menjadikan Tenom yang merangkumi dua kawasan DUN Kemabong dan Melalap bukanlah kawasan yang asing bagi beliau.

“Saya pernah menjadi wakil rakyat Kemabong dan menjadi calon BN DUN Melalap pada PRN ke-16, semua pengalaman itu mendekatkan saya dengan kehidupan rakyat di kawasan ini bagi memahami aspirasi mereka terutamanya dalam aspek pembangunan.

“Tugas menyantuni masyarakat termasuk golongan muda dan aktiviti kebajikan terus saya laksanakan walaupun tanpa jawatan dalam politik.” katanya.

Menurut Jamawi semasa menjadi ADUN Kemabong banyak program-program pembangunan dapat beliau bawa ke kawasan tersebut termasuk di kawasan Melalap.

Walau bagaimanapun apabila berlaku ketidakstabilan politik di negeri ini yang membawa kepada pembubaran DUN Sabah pada tahun 2020, hasratnya untuk membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan tersebut tergendala.

Oleh itu peluang menjadi calon BN pada PRU kali ini turut membuka kesempatan kepada beliau meneruskan agenda-agenda itu, sekiranya mendapat mandat dari rakyat kawasan Parlimen Tenom.

“Kawasan ini sememangnya berporentasi bersar untuk dibangunkan dan dimajukan terutamanya dalam sektor pertanian dan pelancongan justeru tumpuan akan saya berikan kepada sektor ini di samping memastikan segala kemudahan insfrastrukur asas seperti jalan raya, bekalan air,elektrik, pendidikan, kebajikan, kesihatan dan lain-lain akan diberi keuramaan,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama Jamawi yang juga bekas Ketua Penerangan Pemuda Umno Malaysia berkata dalam Bajet 2023 Sabah menerima peruntukan RM6.3 bilion bagi projek infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kesihatan dan kemudahan pendidikan di mana Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan Bajet tersebut akan diteruskan sekiranya BN dapat membentuk kerajaan selepas PRU ke-15

“Bagi menjamin pembangunan dan kemakmuran di Sabah berterusan, amat penting bagi rakyat di negeri ini khususnya di Tenom pada PRU kali ini memberikan sokongan padu kepada BN agar apa yang dirancang dan telah dibentangkan dalam Bajet 2023 dapat dilaksanakankan,” tambah beliau.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top