Jamawi Alu-alukan Rancangan Kerajaan Bina Jalan Raya Dari Pekan Tenom ke Kampung Pangi

jamawi.jpg

KOTA KINABALU, 26 April -- Jamawi Jaafar yang di calonkan mewakili Parti Barisan Nasional Sabah untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi kerusi N36 Kemabong --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kongsi Bersama

Oleh: Jaafar Abd Wahid

KOTA KINABALU:  Bekas wakil rakyat Dewan Undangan Negeri Kemabong Jamawi Jaafar menyambut baik komitmen kerajaan khususnya Kementerian Kerja Raya yang telah memasukkan perancangan untuk membina jalan raya dari Tenom ke kawasan Pangi dalam Rancangan Malaysia Ke-12 .

Jamawi berkata beliau yakin perkara ini akan menjadi keutamaan Kementerian Kerja Raya di bawah pimpinan menterinya Datuk Seri Bung Moktar Radin yang sudah tentu merasai denyut nadi rakyat di kawasan luar bandar,  khususnya penduduk  Kampung Pangi yang sekian lama mengimpikan keperluan jalan raya dari kampung tersebut untuk menghubungkan pekan Tenom yang jaraknya hanya sekitar 12 kilometer.

“Saya yakin perkara ini akan menjadi keutamaan kerajaan khususnya Kementerian Kerja Raya untuk dilaksanakan bagi memberikan kemudahan pengangkutan kepada kira-kira 500 orang penduduk Kampung Pangi dan sekitarnya yang selama ini hanya bergantung kepada pengangkutan kereta api untuk ke pekan Tenom,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Pengarah Jabatan Kerja Raya Ir.Ali Ahmad Hamid dalam kenyataan medianya baru-baru ini berkata, Program Pembangunan Kampung Pangi Tenom termasuk laluan jalan raya ke pekan Tenom telah dimasukkan dalam RMK-12 .

Menurut Ali, pada peringkat permulaan  kajian akan dibuat terlebih dahulu memandangkan ianya melibatkan kos yang agak tinggi  kerana keadaan laluan berbukit menyebabkan pembinaan yang dirancang akan mengambil masa yang lama disiapkan.

“Kita ada dua pilihan laluan sama ada sebelah kiri yang mana  kosnya lebih  sedikit kerana kawasannya kurang berbukit  selain sudah ada  jalan tersedia , iaitu dari pekan Tenom menuju ke kawasan Hidro  dimana kita hanya perlu membuat satu jambatan sejauh 230 meter  dari kawasan Hidro ke Kampung Pangi atau mengekalkan laluan di sebelah kanan dengan anggaran kosnya sekitar  RM165 juta,” katanya.

Dalam pada itu Jamawi yang juga Pengerusi Sabah Urban Development Corporation Sdn Bhd (SUDC) berharap pihak Jabatan Kereta Api Negeri Sabah dapat menambah operasi perjalanan kereta api dari pekan Tenom  ke Kampung Pangi bagi memberikan kemudahan yang lebih selesa  kepada penduduk di kawasan tersebut agar mereka tidak perlu berkejar dengan masa apabila berurusan di pekan Tenom.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top