Jamal Yunos Bersedia Lepaskan Jawatan Bendahari BN Selangor Kepada Tengku Zafrul

jamal-tengku-zafrul.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos menyatakan kesediaannya untuk melepaskan jawatan Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor bagi membolehkan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dilantik ke jawatan itu.

Dalam kenyataannya semalam Jamal berkata, beliau berkata jawatan yang disandangnya sejak 2019 itu melibatkan pengurusan kewangan dan dana parti komponen BN di 22 parlimen dan 56 DUN di Selangor.

Sambil menyifatkan Tengku Zafrul sebagai pakar dalam menguruskan kewangan kerana latar belakang perbankannya dan mempunyai profesionalisme yang lebih tinggi kerana beliau adalah menteri kewangan, Jamal menegaskan keperluan individu sedemikian untuk BN Selangor bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“BN Selangor amat memerlukan individu berkarisma ‘heavyweight’ seperti beliau untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-15 yang amat mencabar.

“Saya ingin menggesa kepimpinan BN Selangor mempertimbangkan cadangan ini untuk segera melantik Tengku Zafrul sebagai bendahari selepas saya meletakkan jawatan,” kata beliau dalam kenyataan itu.

Jamal berkata keputusannya memberi laluan kepada Tengku Zafrul juga adalah untuk memastikan Tengku Zafrul berada dalam barisan kepimpinan BN Selangor yang diketuai Pengerusinya Tan Sri Noh Omar.

Bulan lalu, Jamal dilaporkan mencadangkan Tengku Zafrul untuk dijadikan “poster boy” BN Selangor pada PRU15.

Pada Mei lalu, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan Tengku Zafrul telah menjadi ahli Umno sebelum menyertai Kabinet sebagai menteri kewangan.

Bulan lalu, Tengku Zafrul dilaporkan menepis cakap-cakap mengenai cita-cita politiknya, termasuk spekulasi bahawa beliau boleh menjadi calon pilihan raya di kerusi parlimen Kuala Selangor, dan berkata beliau kini sedang menumpukan usaha untuk menyelesaikan masalah ekonomi Malaysia.

Sumber: Malay Mail

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top