Jalan Terputus: Guru, Pelajar SK Wasai Terpaksa Berjalan 2 Jam Ke Sekolah

Jalan-rosak.jpg
Kongsi Bersama

TUARAN: Kerosakan jalan raya di Kampung Wasai Kiulu, Sabah di beberapa tempat akibat hakisan tanah menyebabkan pelajar dan guru di Sekolah Kebangsaan Wasai terpaksa mengambil masa berjalan sehingga dua jam untuk ke sekolah.

Berdasarkan video tular berdurasi 19 saat yang dikongsikan di Twitter oleh Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau, bukan sahaja keadaan itu dilihat mengganggu rutin seharian penduduk kampung, malah mereka turut berhadapan dengan risiko keselamatan akibat jalan yang sering digunakan kini menjadi laluan air.

Madius menerusi hantaran Twitter pada Rabu itu turut menarik perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Pembangunan Desa Dan Wilayah agar mengambil tindakan segera bagi menaik taraf jalan tersebut demi kemudahan dan keselamatan penduduk kampung.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai menerusi satu kenyataan bertulis memaklumkan, beberapa kawasan yang terkesan di jalan Kampung Wasai setakat ini dapat diakses semula selepas tindakan awal diambil oleh jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Tuaran sejurus beliau memaklumkan perkara tersebut kepada Timbalan Pengarah JKR Sabah pada hari yang sama selepas kejadian.

“Saya telah memaklumkan masalah tersebut kepada Timbalan Pengarah JKR sejurus selepas saya dimaklumkan.

“Jurutera daerah kemudian diarahkan bertindak segera dan saya dimaklumkan jentera-jentera pembaikan telah digerakkan di kawasan yang terkesan dan beberapa laluan sudah boleh dilalui,” ujar Joniston dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, perkembangan terbaru mengenai keadaan jalan raya di kampung tersebut akan dimaklumkan kemudian selepas mendapat maklumat daripada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kiulu yang dipertanggungjawabkan memantau masalah berkenaan.- AWANI

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top