Oleh : Jaafar Abd Wahid
KOTA KINABALU: Tindakan segera akan diambil pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sabah bagi membaiki jalan yang terjejas dan kejadian tanah runtuh di beberapa buah daerah di negeri ini ekoran hujan lebat yang berterusan sejak Khamis lepas
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kebanyakan jalan berturap yang runtuh dalam kejadian kelmarin adalah di bawah kendalian pihak konsesi yang telah dilantik oleh kerajaan dan pihak mereka telah pun diarahkan untuk memperbaikinya segara.
“Pihak kita (JKR) telah pun meminta pihak konsesi yang terlibat untuk memantau dan memperbaiki mana-mana jalan raya di bawah kendalian konsesi yang berkaitan untuk diperbaiki segera atau membuat jalan alternatif agar pengguna tidak terkesan dengan kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Bung, yang juga Menteri Kerja Raya berkata, bagi jalan raya Kota Kinabalu ke Keningau CH 103 dan CH 107 ianya merupakan jalan persekutuan di bawah konsesi Lintasan Resources Sdn Bhd yang kini sedang diperbaiki dan jalan altternatif juga turut disediakan kepada pengguna di laluan tersebut
“Saya turut menerima aduan beberapa batang jalan raya di beberapa buah daerah di negeri ini mengalami kerosakan dan berlubang-lubang dan pihak JKR juga telah meminta konsesi yang telah dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan segera,” katanya.
Menurut beliau lagi, terdapat juga aduan mengenai jalan raya dinaiki banjir khususnya yang terlibat dengan pembinaan lebuh raya Pan Borneo dan pihak kontraktor pelaksana telah diarah agar memantau keadaan ini serta membersihkan parit yang sedia ada agar air tidak bertekung .
“Bagi cerun dan jalan yang runtuh kendaliaan JKR yang tidak melibatkan kos yang tinggi untuk pembaikan, kerja-kerja pembersihan sedang dilaksanakan,” ujarnya.,
Dalam pada itu Bung berkata, ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini beliau telah meminta semua jurutera JKR di setiap daerah memantau ietuasi jalan yang berisiko runtuh agar tahap keselamatan pengguna terkawal.
“Kementerian sentiasa cakna kepada isu-isu seperti ini dan akan mengambil tindakan susulan terhadap setiap laporan yang dikemukakan,” katanya.
Bung juga mengingatkan pengguna jalan raya agar berhati-hati semasa memandu ketika musim hujan dan banjir agar kejadian yang tidak diingini tidak berlaku sebagaimana yang berlaku dalam kejadian kenderaan dihanyutkan air deras di jambatan Jalan Kionsom Lama Inanam semalam.
“Jika banjir dan arus deras berlaku saya nasihatkan pemandu agar jangan memaksa diri untuk meredah kerana keadaan tersebut yang sudah pasti membahayakan keselamatan diri,” tegas beliau.