‘Jalan seperti kolam’ telah dibaiki

shahelmey.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: ‘Jalan raya berlubang seperti kolam amat memalukan’ yang dilaporkan oleh Sinar Harian , dan turut dipetik oleh Sabah Gazette, telahpun diperbaiki susulan tindakan pantas Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Shahelmey dalam kenyataannya hari ini menjelaskan sebagai respon terhadap pertanyaan umum mengenai keadaan Jalan Kg Jaya Baru Kinabatangan itu, beliau telah mengadakan perbincangan segera dengan Pengarah JKR pada pagi semalam.

“Lanjutan dari perbincangan itu, Pengarah JKR telah mengarahkan pihak konsesi untuk menggerakkan pasukan kerja dan jentera kerja mereka ke kawasan yang terlibat untuk melakukan kerja-kerja pembaikan yang sewajarnya agar keadaan jalan lebih selamat untuk digunakan,” kata beliau.

Keadaan jalan berkenaan ‘sebelum’ dan ‘semasa’ diperbaiki.

Menurut Shahelmey, yang juga Timbalan Ketua Menteri III, jalan tersebut adalah termasuk di dalam jajaran Lebuhraya Pan Borneo yang akan dinaiktaraf dijangka bermula dalam tahun ini.

Katanya, keadaan struktur jalan itu memang sudah uzur dan hanya dapat dipulihkan dengan melaksanakan kerja menaiktaraf secara menyeluruh (melalui pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo nanti).

“Keadaan cuaca yang basah akibat musim hujan dengan jumlah trafik yang tinggi terus memberi tekanan kepada struktur jalan yang telah lama melebihi had tempoh rekabentuknya (lemah).

“Namun demikian, sementara menanti bermulanya pakej Lebuhraya Pan Borneo tersebut, pihak JKR melalui konsesi yang dilantik diarah untuk melakukan kerja-kerja selenggaraan dan pembaikan berkaitan,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, pihaknya telah meminta Pengarah JKR mendapatkan kerjasama semua jurutera daerah dan jurutera penyelengaraan jalan beserta syarikat-syarikat konsesi penyelengaraan jalan untuk sentiasa proaktif dalam memantau keadaan jalan-jalan di bawah jagaan mereka dari masa ke semasa.

“Laporan-laporan keperluan hendaklah sentiasa dikemaskini untuk tujuan pengurusan dan keperluan memohon peruntukan tambahan sekiranya ianya menjadi kekangan keperluan kerja,” tambah beliau.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top